WASHINGTON – Pencipta kartun popular Scooby- Doo, Ken Spears dilaporkan meninggal dunia pada usia 82 tahun.
Kematian Spears hanya berselang tiga bulan selepas pemergian rakan pencipta bersama kartun itu, Joe Ruby pada Ogos lalu.Joe meninggal dunia di usia 87 tahun kerana sakit tua di Westlake-Village, California.
Anak lelakinya, Kevin Spears mendedahkan ayahnya meninggal dunia pada Jumaat lalu akibat komplikasi berkaitan penyakit Lewy Body Dementia atau penyakit nyanyuk yang agresif, menurut laporan majalah Variety.
Ken dan Joe adalah pencipta bersama kartun animasi Scooby-Doo, Where Are You! yang mula ditayangkan pada tahun 1969.

“Ken akan sentiasa diingati tentang kecerdasan yang dimiliki, kebolehan berceritanya, kesetiaan kepada keluarga dan etika kerja yang tinggi,” kata Kevin.
“Dia bukan sahaja meninggalkan impak mendalam terhadap keluarga tetapi telah menyentuh banyak kehidupan selaku pencipta karakter kartun animasi Scooby-Doo.
“Ken adalah inspirasi kami sepanjang kehidupannya dan akan terus hidup dalam hati kami semua,” ujarnya.
Ken meninggalkan dua anak lelaki, Kevin dan Chris Spears, lima orang cucu dan tiga cicit. – Agensi






