fbpx
Syahrunizam (kiri) bersama Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana dan Pengarah Pentadbiran Zoo Negara, Ahmad Nizam Zainudin (kanan) pada program CSR di Zoo Negara baru-baru ini.

Semangat luar biasa UEM Edgenta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) begitu komited dalam inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) sejak tiga tahun lalu terhadap usaha pemeliharaan kesejahteraan binatang di Zoo Negara, Kuala Lumpur kerana Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Syahrunizam Samsudin adalah seorang pencinta haiwan.

Mengambil berat tentang kelangsungan hidup binatang di Zoo Negara dalam tempoh pandemik membuatkan beliau menaja sepasang zirafah yang diberi nama ‘Mas Boy’ dan ‘Mas Kira’. Tetapi kini yang masih hidup adalah Mas Kira berusia lima tahun.

Penajaan terus diperbaharui dan kini syarikat menambah lagi binatang yang ditaja iaitu sepasang kura-kura berusia lebih 100 tahun iaitu ‘Do’ dan ‘Re’.
Minatnya turut dilihat dengan keprihatinan syarikat memelihara dua ekor kucing yang datang dari luar kawasan di Menara UEM dan dikenali sebagai kucing UEM.

Syahrunizam menyifatkan program CSR telah memberi peningkatan nilai dalam modal insan kepada kakitangannya yang kini telah mencecah kira-kira 22,000 orang di dalam dan luar negara.

Syarikat terlibat dalam segmen sokongan penjagaan kesihatan, perkhidmatan infrastruktur selain penyedia penyelesaian kemudahan dan hartanah.

Menurut beliau, ramai pekerjanya terlibat sebagai ‘barisan belakang’ tetapi peranan mereka sangat penting.

“Jadi inilah tugas saya untuk memberikan motivasi, menaikkan semangat mereka untuk bekerja,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada program CSR syarikat di Zoo Negara baru-baru ini.

KOSMO!: Ini adalah tahun ketiga Syahrunizam bersama UEM Edgenta, apakah pencapaian terbaik sepanjang tempoh tersebut?
Syahrunizam: Pertumbuhan UEM Edgenta sejak tahun lepas mencatat hasil paling tinggi dalam sejarah syarikat dan antara lainnya adalah pelbagai aktiviti yang dilaksanakan (melalui segmen penjagaan kesihatan) dalam tempoh pandemik dan juga sumbangan daripada kakitangan syarikat yang mana mereka lebih rapat, akrab dan fokus.

Tujuan saya di sini adalah untuk membangunkan Malaysia dengan baik bukan sebab hendak mencatat rekod tertinggi tapi sebenarnya saya nak memastikan hospital yang kita jaga adalah hospital yang baik bukan sahaja di negara ini tetapi juga di Si­ngapura, Taiwan dan Dubai. Oleh itu, saya mahu orang di luar sana nampak bahawa orang Malaysia adalah orang yang komited.

Apa yang dilakukan untuk mencapai ke tahap tersebut?
Saya mahu memberi inspirasi kepada kumpulan saya dan untuk mendapatkan inspirasi tersebut, kita perlu anjurkan pelbagai program untuk menaikkan semangat pekerja sebab kerja yang mereka lakukan adalah pen­ting, orang lain tidak akan me­n­yampaikan ucapan terima kasih kepada pekerja saya sebab kami telah bersihkan hospital tetapi jika tanpa pekerja UEM Edgenta, hospital tak boleh beroperasi.

Pekerja kami berada di belakang tabir tetapi mereka adalah orang penting walaupun masyarakat tak nampak mereka (bekerja).

adi inilah tugas saya untuk memberikan motivasi, menaikkan semangat mereka untuk te­rus bekerja.

Kebanyakan pekerja hospital kami rata-rata­nya berumur lebih 45 tahun ke atas dan mereka ada masalah sendiri se­perti ibu tunggal dan lain-lain.

Bagi saya, demi pertumbuhan UEM Edgenta, saya perlu memastikan mereka ini ada pekerjaan, terus bekerja dan saya juga akan pastikan mereka mendapat manfaat yang baik dalam kehidupan.

Berapa ramai kakitangan UEM Edgenta?
Sekarang kami ada 22,000 orang yang mana dalam Malaysia terdapat 7,000 orang dan daripada jumlah tersebut, 4,000 pekerja adalah dalam segmen penjagaan kesihatan.

Apakah cabaran sebagai CEO yang memiliki 22,000 pekerja?
Kekuatan saya adalah saya perlu banyak mendengar dan kena faham situasi mereka, ja­ngan terlalu berharap the best people untuk mengoperasikan perniagaan tetapi bagi saya, the best people adalah orang yang boleh bekerja bersama dalam satu kumpulan.

Ada juga yang tersalah anggap bahawa, orang yang ada IQ tinggi sahaja boleh buat kerja dan pandai buat kerja tetapi sebenarnya ia terletak kepada pemimpin yang boleh membawa satu kumpulan yang memiliki pelbagai latar belakang, tidak kira tua atau muda dan mereka boleh bekerja bersama sama.

Akhirnya kita akan dapat output dan hasil daripada produktiviti daripada mereka yang sangat mengagumkan. Kadang-kadang mereka ini sebenarnya boleh perform lebih baik daripada apa yang kita jangkakan, mereka sanggup beri lebih lagi sebab mereka seronok me­laksanakannya.

Segmen apa yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan syarikat?
Sumbangan tertinggi dalam perniagaan domestik disumbangkan oleh segmen infrastruktur termasuk penyelenggaraan lebuh raya sebanyak 60 peratus dan bakinya daripada hospital

Apa kekuatan Syahrunizam sehingga membawa syarikat ke tahap sekarang?
Saya rasa terdapat dua pendekatan yang ditekankan iaitu pertumbuhan digital yang mana itu adalah kepakaran dan kemahiran saya sejak sebelum me­langkah ke dalam UEM Edgenta dan satu lagi adalah aspek penekanan nilai terhadap modal insan.

Boleh jelaskan tentang nilai bagi modal insan?
Persoalannya, apa fokus kita dalam kerja, adakah kita bekerja semata-mata bekerja dan kita bekerja bertujuan semata-mata untuk bonus dan gaji?

Tetapi sebenarnya fokus kita adalah apa yang akan kita bagi terhadap aset dan pelanggan yang menggunakan aset-aset kita. Itu adalah satu kepuasan yang dirasai apabila mereka berpuas hati terhadap apa yang kita tawarkan. Aspek ini perlu dipupuk dengan menganjurkan program CSR.

Apa perancangan terbaharu syarikat dalam separuh kedua tahun ini?
Syarikat akan fokus kepada operasi di luar negara khusus­nya di Arab Saudi, kami mahu membina digital platform yang terbaharu, sebenarnya syarikat banyak memiliki digital platform dan kita akan teruskan proses tersebut.

Antara yang terbaharu adalah menganjurkan Persidangan IOT dan kita akan jadi antara penyedia bandar pintar yang akan mengendalikan aset di Dubai dan Arab Saudi.

Ini adalah satu perkembangan yang bagus untuk membo­lehkan orang Malaysia bekerja di luar negara dan mereka dapat pendedahan di sana. Saya selalu mengetengahkan isu ini kepada pengurusan tertinggi kerana apa yang kita laksanakan adalah untuk manfaat generasi akan datang khususnya CSR. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN