fbpx
Nen sering menggayakan telepok di kepala yang menjadi identiti pakaian wanita Melayu Negeri Sembilan.

Nen Tebabo pencinta Perpatih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI satu sudut, jelas kedengaran bunyi suara seorang wanita seakan-akan sedang mengacarakan sesuatu program.

Uniknya, apa yang dilakukan itu tidak sekadar bercakap mengikut teks, tetapi ada kalanya diselit dengan beberapa rangkap pantun.

Paling unik, wanita itu turut mengenakan telepok yang biasa dipakai di atas kepala sebagai satu lambang keunikan adat Negeri Sembilan.

Loghat yang digunakan wanita yang mesra dikenali sebagai Nen Tebabo itu juga menggunakan sepenuhnya loghat Negeri Sembilan yang kedengaran begitu sopan dan lembut ketika sedang mengacarakan program bersama audiens yang hadir.

Begitulah suasana saat wanita itu mengendalikan acara Sketsa Adat Pepatih Negeri Sembilan Bersama Nen Tebabo dalam festival budaya Ini Warisan Kita di Putrajaya baru-baru ini.

Berpeluang menemu bual wanita kelahiran Kuala Pilah dan merupakan salah seorang penyampai Radio Televisyen Malaysia (RTM) Negeri FM, Nen berkongsi cerita mengenai minat serta cintanya terhadap Adat Perpatih.

Kata Nen atau nama sebenarnya Norlizahana Abdullah Sani, sifatnya yang suka bergaul bersama orang-orang tua sejak sekian lama membuatkannya banyak mempelajari tentang budaya hidup orang dulu-dulu.

“Setiap kali jumpa dengan mereka ini, ada sahaja cerita yang akan dikongsikan termasuklah pantun, terombo (puisi) dan perkataan dialek Negeri Sembilan yang pekat-pekat yang ada kalanya tidak pernah saya dengar.

“Sejak dari kecil saya sudah biasa bergaul dengan orang-orang tua dan mereka juga selalu berpesan supaya sentiasa pelihara dan martabatkan adat serta warisan nenek moyang.

“Satu lagi, disebabkan dari kecil lagi, emak selalu bawa saya pergi kenduri jadi membuatkan saya selalu dekat dengan orang tua-tua dan terbiasa dengan cara hidup begitu,” katanya kepada Aura.

Ditanya sejak bila namanya mula dikenali dalam kalangan pendengar sebagai seorang pencinta dan pejuang Adat Perpatih, Nen memberitahu ia bermula sejak dia memuat naik satu video dalam laman sosial miliknya beberapa tahun lalu.

Katanya, video menunjukkan cara-cara memakai telepok yang dimuat naik itu membuatkan dirinya mula dikenali dan mempunyai pengikut tersendiri.

“Ada pengikut saya beritahu mereka follow saya lepas tengok video saya ajar cara-cara untuk memakai telepok yang lazimnya digunakan wanita Melayu yang mengamalkan Adat Perpatih.

“Sejak dari itu juga, mereka menggelarkan saya Uwan (nama panggilan bagi nenek) kerana loghat Negeri Sembilan yang saya gunakan mungkin membuatkan suara saya ketika ke udara kedengaran sedikit tua berbanding usia sebenar.

Nen mengingati pesan orang-orang tua agar memartabatkan adat serta warisan nenek moyang.

“Tidak setakat membuat video berkenaan Adat Perpatih yang diwarisi daripada orang-orang Minangkabau sejak kurun ke-17 lagi, saya juga sering menggayakan telepok di mana-mana acara sekali gus mempamerkan identiti Negeri Sembilan itu sendiri,” ujarnya.

Pada masa sama, peranan dan tanggungjawabnya mengendalikan segmen diberi nama Monchak Petang di radio memerlukannya untuk bertutur sepenuhnya dalam loghat Negeri Sembilan sejak tahun 2008 lagi.

“Saya rasa bersyukur sangat sebab apa yang saya kongsikan ada manfaat untuk masyarakat.

“Sungguhpun tidak terlalu membanggakan, tapi saya bersyukur dengan anugerah yang Allah kurniakan, selain menjadi sumber rezeki buat saya,” katanya.

Berkongsi penglibatan dan aktiviti yang sering disertai dalam usaha memartabatkan Adat Perpatih, wanita yang sudah berkahwin ini memberitahu dia mula aktif menjadi pengacara sekitar 2010.

“Saya mula jadi pengacara program atau majlis seingat saya sejak tahun 2010 dan biasanya yang jemput saya sebagai pengacara kebanyakan disebabkan loghat Negeri Sembilan yang saya biasa tuturkan.

“Pun begitu, atas permintaan penganjur, ada juga saya guna bahasa biasa. Setiap kali saya mengacara, saya akan bawa pantun-pantun bagi setiap segmen pada majlis atau program tersebut mengikut kesesuaian.

Ditebak mengenai pandangannya selaku pejuang dan pencinta adat, tidak dinafikan hanya orang-orang tua sahaja yang faham dan masih mengamalkannya.

“Anak-anak muda tidak semua yang faham dan mengamalkannya sebab mungkin ada segelintir ibu bapa yang kurang memberi pendedahan tentang Adat Perpatih itu sendiri.

“Sebagai contoh, bercakap dengan anak-anak guna bahasa standard. Tidak dinafikan saya pun begitu juga, tetapi saya ambil pendekatan untuk rajin bertanya kepada orang-orang dahulu supaya

Adat Perpatih dapat dikekalkan dan tidak lapuk ditelan zaman,” katanya.

Diaju pandangannya mengenai Adat Perpatih yang memberi kelebihan kepada golongan wanita misalnya dalam aspek harta pusaka, Nen menyifatkan ia satu yang amat baik.

“Pada padangan Nen sangat baik sebab perempuan tak sekuat lelaki dalam mencari keperluan hidup.

“Ramai juga yang salah faham kalau kahwin dengan perempuan Nogori tinggal sehelai sepinggang, yang sebenarnya tidaklah sedahsyat itu, harta sepencarian tetap harta sepencarian,” ungkapnya.

Berkongsi mengenai cabaran sepanjang lebih sedekad memartabatkan Adat Perpatih, Nen akui lumrah hidup sebagai manusia ada yang suka begitu juga sebaliknya.

“Ada juga yang pernah kata, saya ini mengacara guna dialek Negeri Sembilan nampak kampung dan tak cerdik.

“Tidak mengapalah, itu hak mereka untuk berkata sedemikian dan itu tidak akan lemahkan semangat saya. Saya tetap akan lakukan apa yang saya lakukan ketika ini. Jujur saya katakan, loghat atau dialek Negeri Sembilan adalah sumber rezeki saya selama ini,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN