PETALING JAYA – Dua ekor anak panda di Zoo Negara, Kuala Lumpur, Sheng Yi dan Yi Yi akan dihantar ke China selepas Ogos ini mengikut perjanjian yang telah ditetapkan sebelum ini.
Sheng Yi yang kini berusia dua tahun dan Yi Yi berusia lima tahun itu sepatutnya dipulangkan ketika anak panda berusia dua tahun, bagaimanapun tertangguh beberapa kali disebabkan penularan Covid-19.
Sebelum ini, Nuan Nuan anak pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang telah dihantar ke China pada 14 November 2017 sebaik mencecah usia dua tahun.
Kata Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana, pihak Zoo Negara boleh menjaga panda dalam jangka masa panjang, malah pihaknya melihat kehadiran pasangan Xing Xing dan Liang Liang adalah mencukupi untuk menjadi daya tarikan para pengunjung.
Susulan tempoh ‘pinjaman’ pasangan gergasi tersebut akan berakhir pada 2024, Rosly berkata, ia bergantung kepada kerajaan Malaysia untuk memutuskan sama ada perjanjian bagi mengekalkan Xing Xing dan Liang Liang perlu dilanjutkan selepas tempoh itu.

Setakat ini, Xing Xing dan Liang Liang masing-masing berusia 17 tahun telah dikurniakan tiga ekor anak iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi pada 14 Januari 2018 seterusnya Sheng Yi pada 31 Mei 2021.
“Kehadiran pasangan panda gergasi sudah cukup baik buat Zoo Negara dan sekiranya mereka dikurniakan anak lagi, kita akan akan hantar pulang ke China apabila cecah usia dua tahun sesuai perjanjian yang dibuat.
“Sementara itu, keputusan penghantaran pulang anak panda Sheng Yi dan Yi Yi bergantung kepada kerajaan China dan kita sedang tunggu tarikhnya.
“Setakat ini, masih belum ada tarikh yang ditetapkan untuk Sheng Yi dan Yi Yi dihantar pulang bersama-sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Ujarnya, pengunjung masih berpeluang melihat gelagat comel anak-anak panda berkenaan selagi kerajaan China masih belum memberi ‘lampu hijau’. -KOSMO! ONLINE














