PETALING JAYA – Logo yang melambangkan OCBC Malaysia yang terdiri daripada OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) dan OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin) telah diperbaharui untuk menyatukan jenama di semua pasaran terasnya.
Langkah ini bertujuan mengukuhkan pendekatan One Group atau satu kumpulan yang disusun untuk memanfaatkan peluang besar daripada rantau ASEAN China Raya.
Kali terakhir logo OCBC diperbaharui adalah pada tahun 1998 dan kini ia telah dimodenkan dengan logo yang masih mengekalkan ikon kapal layar Cina klasik terkenal yang melambangkan jenama OCBC.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan OCBC, Helen Wong berkata, sejajar dengan logo diperbaharui ini, satu cogan kata baharu juga telah dilancarkan iaitu For now, and beyond.

Menurut beliau, cogan kata baharu ini mencerminkan tunjang OCBC untuk sentiasa mengambil pendekatan jangka panjang dalam semua urusan dan pelaburannya serta komitmen bukan sahaja kepada masa kini tetapi juga masa depan dengan impak berpanjangan demi dunia yang lebih baik.
“Dengan tumpuan lebih khusus terhadap ASEAN-China Raya, Kumpulan OCBC yang berpangkalan di Singapura bercadang menggiatkan pertumbuhan dan menjana hasil tambahan bernilai S$3 bilion (RM10.32 bilion) menjelang 2025, selain daripada pertumbuhan semasa yang dicatatkannya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Wong menjelaskan, jenama disatukan yang dilancarkan pada hari ini menandakan satu lagi langkah strategik yang mengukuhkan pendekatan One Group, sebagai satu daripada lapan tunggak teras Strategi Korporat yang diperbaharui pada 2022.
“Di ASEAN, OCBC berkhidmat kepada tujuh pasaran utama menerusi anak-anak syarikat perbankan dan insurans yang ditubuhkan di dalam negara dan cawangan serta pejabat bank yang menyumbang kepada 98 peratus daripada pertumbuhan ekonominya di rantau ini,” katanya. -KOSMO!ONLINE














