SEBUT sahaja kilang, pasti rata-rata tahu mengenai waktu operasinya iaitu 24 jam sehari.
Kebiasaannya, waktu bekerja di kebanyakan kilang dibahagi kepada dua atau tiga syif iaitu pagi, petang dan malam.
Bercerita kepada Mitos, Anis (bukan nama sebenar) merupakan antara anak muda yang pernah bekerja di kilang selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia beberapa tahun lalu.
Anis yang juga anak sulung dalam keluarga berkata, tujuannya bekerja kilang adalah untuk mencari pengalaman dan wang simpanan seandainya ditawarkan melanjutkan pengajian pada masa depan.
Justeru, Anis bersama beberapa rakannya memohon jawatan sebagai operator pengeluaran di salah sebuah kilang di Senai, Johor.
“Alhamdulillah, Tuhan permudahkan urusan kami bertiga. Kami boleh mula bekerja selang beberapa hari selepas itu.
“Cuma cabaran bagi saya adalah apabila diletakkan pada syif malam secara tetap berseorangan, manakala dua lagi rakan di sebelah pagi.
“Tetapi saya tidak kisah sangat kerana kerja tetap sama. Cuma yang membezakannya adalah gelap dan terang di luar kilang sahaja,” katanya.
Cerita Anis yang kini baru sahaja tamat pengajian di universiti dan bekerja di sebuah bank, dia kerap kali diingatkan oleh rakan sekerja yang lebih senior supaya lebih berhati-hati bertugas pada syif malam.
Ujar gadis tinggi lampai berkulit kuning langsat itu lagi, pada awalnya dia menerima nasihat tersebut, tetapi tidak mahu terlalu memikirkan sampai mengganggu fokus kerjanya.
“Dua minggu pertama kerja, semuanya okey. Saya mula belajar banyak perkara termasuk komponen-komponen elektronik yang digunakan serta fungsinya.
“Saya juga ada kenal seorang kawan baharu dari Indonesia yang merupakan seorang janda anak dua. Dia sudah tiga tahun bekerja di kilang tersebut.
“Novi (bukan nama sebenar) juga selalu berpesan kalau mahu ke tandas atau solat di surau pada lewat malam jangan bersendirian. Dia boleh temankan,” katanya.
Ujar Anis, ada satu hari, kerjanya terlalu banyak sampaikan tidak sempat solat isyak dan terpaksa melakukannya pada pukul 1 pagi.
Ketika itu, Novi tidak bekerja kerana ada urusan yang perlu diselesaikan di luar Johor.
“Jadi bila sudah lambat solat, saya terus bergegas ke surau di aras sama dengan production area (kawasan pengeluaran). Namun, tempatnya sedikit jauh ke belakang dan gelap.
“Masa sedang berjalan seorang diri sambil melihat media sosial di telefon pintar, saya dengar dengan jelas suara seorang perempuan seakan wanita tua sayup-sayup memanggil nama saya.
“Anis… Anis… Anis. Tiga kali dia memanggil. Bila saya toleh ke belakang dan kawasan sekeliling tiada sesiapa pula.
“Jadi, saya teruskan berjalan sampailah ke surau dengan perasan berdebar.
“Pada ketika itu saya mula fikir bukan-bukan dan teringat pesan rakan sekerja lain sebelum ini.
“Masa tengah buka kasut sebelum melangkah masuk ke surau, sekali lagi saya dengar nama disebut dan kali ini siap ditiup di sebelah telinga kiri saya,” katanya.
Ujarnya ketika itu, dia sudah mula pelik dengan apa yang berlaku tetapi masih memberanikan diri.
Jadi, dia pun masuk ke surau yang boleh memuatkan hampir 10 muslimat itu dan segera mengambil wuduk serta menunaikan solat.
“Bayangkan ketika saya sedang berada di rakaat terakhir dan sedang membaca tahiyat akhir, saya dengar sekali lagi suara memanggil nama saya.
“Kali ini, suara itu jelas dan garau seram bunyinya. Waktu itu saya memang betul-betul tersentak dan solat sudah mula tidak khusyuk. Cepat-cepat saya habiskan solat dan beri salam.
“Ketika saya memberikan salam di sebelah kiri, jauh di sudut belakang surau saya nampak ada wanita tua dalam lingkungan 50-an.
“Wanita itu lengkap berpakaian pengawal keselamatan (guard) sambil duduk membelakangi saya berdekatan pintu surau.
“Persoalannya, siapa wanita tersebut sedangkan di dalam surau cuma saya seorang.
“Saya fikir mungkin wanita tersebut pengawal keselamatan kilang tempat saya bekerja dan dia ingin menunaikan solat seperti saya,” ujarnya.
Jelas Anis yang ketika itu baharu menginjak usia 18 tahun, dia memberanikan diri untuk keluar dari surau, walaupun terpaksa melepasi wanita tersebut terlebih dahulu.
“Masa saya toleh sekali lagi susuk wanita tersebut sudah hilang. Saya pun lega dan cepat-cepat beransur keluar ke kafe.
“Ketika sedang minum, ada beberapa kawan perasan dan menegur muka saya kelihatan pucat seperti demam. Saya sempat cerita apa yang berlaku secara ringkas.
“Rentetan bisikan tersebut, saya demam tiga hari dan tidak dapat bekerja.
“Ketika itu juga, saya dapat tahu bahawa bukan saya sahaja yang ‘ditegur’ oleh mak cik tersebut, malah ramai juga sudah kena,” katanya.
Sebelum berhenti kerja, Anis memaklumkan, ada orang beritahu bahawa mak cik itu pernah bertugas di kilang tersebut.
Ujarnya, wanita itu menemui ajal dalam satu kemalangan ketika perjalanan ke tempat kerja beberapa tahun lalu.















