SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mahu semua pihak mengambil pendekatan bijak, tertib dan semangat toleransi tinggi dalam berhadapan isu sensitif terutama berkaitan penggunaan kalimah Allah.
Baginda berkenan menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan rakyat negara tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.
Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin berpandangan kandungan titah itu amat baik dan impresif serta harus diambil serius rakyat jelata.
“Baginda mahu semua pihak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan di mana rakyat juga perlu menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.
“Sama seperti Yang di-Pertuan Agong, baginda turut menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah Allah yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional serta kesejahteraan negara,” katanya hari ini.
Sultan Sharafuddin turut menyeru agar semangat bersatu padu rakyat terus disemai dan dididik di semua peringkat bersama nilai murni hidup bermasyarakat serta mengekalkan keharmonian.
“Bagi membina sebuah negara berwibawa dan bermaruah, rakyat dan ahli politik perlu membuang sebarang agenda retorik yang boleh membawa perpecahan.
“Tanpa perpecahan, Malaysia mempunyai potensi amat besar untuk menjadi sebuah negara maju dan disegani,” katanya. – KOSMO! ONLINE














