fbpx

Lebih 50 peratus jemaah tiba di Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan Syed Saleh (tengah) bersalaman dengan salah seorang jemaah KT44 yang tiba di Mekah baru-baru ini.

MEKAH – Operasi haji Malaysia berada pada landasan tepat apabila sehingga kini lebih 50 peratus atau bersamaan 16,563 jemaah telah tiba di Tanah Suci menaiki 57 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 21 Mei lalu.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ketika ini terdapat 11,294 jemaah di Mekah dan 5,569 di Madinah yang telah menetap di 12 buah hotel di sini. Jumlah keseluruhan jemaah ialah 31,600.

Katanya, sejak Jumaat lalu, maktab di Mekah telah menerima kemasukan jemaah melalui dua sektor iaitu dari Jeddah dan Madinah.

“Sebanyak 57 penerbangan atau bersamaan 58 peratus telah selesai membawa jemaah ke Tanah Suci. Tiada lagi kemasukan ke Madinah kerana yang terakhir ialah pada hari ini (semalam).

“Tiga feeder flight dari Kota Bharu, Kelantan, Kuala Terengganu, Terengganu dan Alor Setar, Kedah telah selesai operasinya manakala empat lagi masih menjadi stesen berlepas selain KLIA,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Syed Saleh, cuaca di Tanah Suci semakin meningkat hingga mencecah 46 darjah Celsius menjelang operasi masyair dan jemaah dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan dan kerehatan yang cukup.

Tambahnya, statistik kesihatan terkini menunjukkan seramai 36 jemaah berada di dalam wad dengan pecahan 31 di pusat rawatan Tabung Haji dan lima di hospital Arab Saudi Mekah serta Madinah kerana mengalami jangkitan paru-paru dan kulit serta sakit sendi.

“Mereka berada dalam keadaan stabil. Pesakit yang dimasukkan ke hospital arab Saudi pula akan dilawati oleh pasukan perubatan dua kali sehari yang turut berkongsi maklumat tambahan sejarah kesihatan jemaah dengan doktor tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Saleh menasihatkan jemaah supaya tidak terdedah kepada panas, meminum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi dan menjaga makan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI