fbpx
Sebahagian daun ketum yang telah dirampas oleh pihak berkuasa sebelum sempat diproses untuk dijadikan minuman.

Rasa nak mati tak dapat minum ketum ketika berpuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tubuh menggeletar, terasa sejuk di bahagian kaki serta tangan dan kebas merupakan antara simptom dirasai oleh penagih ketum yang berpuasa pada bulan Ramadan.

Perkara itu berlaku kepada penagih ketum tegar yang menjalani ibadah puasa dan tidak sabar berbuka dengan air terla­rang itu.

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh seorang penagih ketum yang hanya ingin di kenali sebagai Ajis, 36, yang menyatakan, tempoh minggu pertama pada bulan puasa adalah satu tempoh yang amat memeritkan bagi penagih ketum sepertinya.

“Hanya tuhan saja yang tahu, cukup perit dan sakit. Biasanya keadaan seperti itu akan berlaku sekitar tengah hari membawa sehingga waktu berbuka pada maghribnya di bulan puasa.

“Saya boleh katakan langsung tidak boleh buat kerja, tambahan jika bekerja di pejabat dengan sejuk penyaman udara keadaan sakit itu makin bertambah-tambah,” jelasnya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, katanya yang telah meminum air ketum sejak lapan tahun lalu, lagi parah apabila penagih ketum akan berasa mengantuk yang teramat dengan menguap setiap masa sehingga keluar air dari hidung serta mata.

Air ketum yang telah diproses menjadi rebutan penagih-penagih minuman terlarang itu.

“Kadang kami akan perasan satu sama lain, menguap tidak boleh nak cerita, boleh dikatakan penagih ketum ini ibarat sebagai kain buruk, langsung tidak boleh buat kerja.

“Kebas serta sakit ibarat lenguh di tangan dan kaki juga menyebabkan kita rasa serik untuk tinggalkan air ketum, tetapi nak tinggalkan ketum ini bukan satu benda yang mudah bagi yang memahaminya,” jelasnya.

Sementara itu, bagi seorang penjawat awam, Wan Azwan, 32, pula berkata, minggu pertama pada bulan puasa adalah minggu yang perit untuk ditempuh oleh penagih ketum untuk membiasakan diri untuk tidak mengenakan minuman tersebut pada siang hari.

“Kalau berjaya tempuh ming­gu pertama ni, selepas itu biasa­nya semua akan menjadi stabil seperti biasa. Minggu pertama memang sangat teruk.

“Paling ketara apabila berbuka sahaja, nasi atau makanan lain akan jadi nombor dua, pertama akan masuk ke mulut adalah air ketum. Selepas minum semua sakit yang kita lalui sebelah siang akan hilang begitu sahaja.

“Itulah keadaan yang biasa kami lalui, air ketum ibarat tonik kuat kepada kami, kekuatan kami hanya bergantung kepada air rebusan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, dari sudut hukum Islam pula, kata Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, sebarang makanan atau minuman yang tujuannya adalah untuk mengkhayalkan atau memudaratkan badan adalah haram.

Jelasnya, walaupun pada siang harinya mereka berpuasa, tetapi apabila berbuka mereka mengambil benda-benda yang haram ia amat ditegah oleh ajaran Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN