BULAN Ramadan yang datang sekali dalam setahun pastinya ditunggu-tunggu oleh umat Islam bagi melipatgandakan ibadah.
Kita juga sering dimomokkan bahawa setiap kali tibanya Ramadan, semua makhluk halus termasuk hantu akan diikat dan tidak mengganggu manusia.
Pun begitu, ada perkara-perkara misteri yang sering berlaku dalam bulan penuh keberkatan dan suci ini.
Itulah yang pernah dilalui oleh Liza (bukan nama sebenar) bersama adik-beradiknya yang lain ketika Ramadan tahun lalu.
Cerita Liza, Allahyarham ibunya telah meninggal dunia sekitar tiga tahun lalu akibat cedera parah pada kepala dalam satu kemalangan jalan raya.
“Waktu ibu pergi, umat Islam hendak sambut kedatangan Ramadan tidak sampai dua minggu lagi.
Berkongsi lanjut, Liza yang merupakan seorang suri rumah dan hanya berniaga kecil-kecilan memang menetap dan tinggal bersama bapanya di kampung memandangkan adik-beradik lain bekerja di kota.
Ujarnya, tiap kali Ramadan tiba, hanya dia, dua anak dan bapanya akan sama-sama menyambut puasa secara sederhana.
“Saya masih ingat, waktu tahun pertama kami menyambut puasa bersama tanpa ibu di sisi, suasana betul-betul berbeza dan suram sekali. Maklumlah, biasanya ibu orang paling tidak sabar menunggu Ramadan tiba.
“Kerinduan dan rasa kehilangan itu betul-betul terasa. Suasana suram menyelubungi kami empat beranak. Namun, hendak atau tidak kami perlu teruskan kerana niat beribadah,” katanya.
Beritahu Liza, dia masih teringat dan tidak boleh lupa saat umat Islam berpuasa dan memasuki hari ke-15 Ramadan tahun lalu.
Ceritanya, dia mempunyai seorang anak lelaki berusia sekitar empat tahun yang juga merupakan cucu paling rapat dengan arwah ibunya.
Ujar Liza, anaknya memberitahu ternampak susuk arwah bondanya yang seakan-akan sedang bersahur di dapur.
“Sewaktu saya sedang menyiapkan juadah ringkas di dapur, anak kecil yang memang biasa bangun awal dan temankan saya beritahu dia nampak nenek pulang ke rumah.
“Tidak setakat itu, anak juga beritahu yang dia ada berbual dengan neneknya yang lengkap berpakaian serba putih di ruang tamu dan memintanya menjadi anak yang soleh.
“Cerita anak saya lagi, neneknya itu turut mencium dahi dan pipinya sambil memeluk erat. Neneknya juga berpesan kepada anak saya supaya beritahu ibu serta datuk agar jangan terlalu bersedih,” katanya.
Akui Liza, pada mulanya, dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang diceritakan anaknya itu dan menganggap ia hanyalah tahyul.
“Maklumlah budak sekecil itu, apa yang ada dalam fikirannya. Lagi pun dia baru bangun tidur, mungkin masih mamai agaknya.
“Selang dua hari daripada kejadian anak berjumpa dengan neneknya itu, saya nampak dengan kepala mata sendiri jelmaan arwah ibu lengkap bertelekung sedang bersahur di dapur.
“Waktu itu sekitar pukul 4.30 pagi, saya tengah siapkan juadah bersahur. Beberapa kali saya gosok mata dan pastikan itu bukan mimpi.
“Sempat juga saya menegur dan menyapa dengan bertanya adakah itu ibu. Selang beberapa saat, ibu sempat tersenyum ke arah saya sebelum hilang entah ke mana.
“Waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Mungkin agak seram bagi sesetengah orang, tetapi bagi saya, detik itu merupakan ‘rezeki’,” katanya.
Jelas Liza lagi, sejak kejadian itu, dia dan anaknya tidak pernah lagi nampak kelibat arwah ibu di rumah sedang bersahur.















