fbpx
Suasana di Gua Lepak, Batu Caves, Selangor yang dihiasi lampu neon.

Jamu selera di dalam gua batu kapur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AWALNYA gadis tersebut hanya tersalah jalan semasa mahu ke rumah saudaranya di Batu Caves, Selangor untuk berbuka puasa.

Melihat keadaan sudah menjelang maghrib, dia kemudian terlihat ada sebuah tempat dengan papan tanda tertulis Gua Lepak di hadapannya.

Oleh kerana waktu berbuka sudah hampir, gadis yang juga seorang pelajar, Siti Sarah Jazli, 22, memberitahu, dia dan rakannya ketika itu memutuskan singgah ke tempat berkenaan untuk berbuka puasa sebelum ke destinasi yang dituju.

“Semasa saya memasuki tempat itu, saya fikir ia sekadar nama dan hanya sebuah kedai makan biasa berkonsep medan selera.

“Namun, semasa sedang melihat makanan yang dijual vendor, saya terlihat ada satu laluan tangga yang menghala ke pintu gua,” katanya kepada K2 dalam kunjungannya pertama kali ke premis itu baru-baru ini.

Tambahnya lagi, dia kemudian bertanya kepada peniaga tentang laluan tersebut dan rupanya ia merupakan satu lagi ruang makan yang terdapat di dalam gua.

Tertarik dengan perkara tersebut, gadis asal Kuala Lumpur itu kemudian menuruni tangga tersebut dan masuk ke dalam gua berkenaan. Alangkah terkejutnya dia melihat di dalam gua tersebut meriah dengan orang ramai berbilang kaum yang datang untuk makan dan berbuka puasa.

Di dinding gua, kelihatan dekorasi lampu neon dan lukisan-lukisan mural yang menjadikan ruang makan itu nampak lebih menarik.

Begitulah keterujaan yang dirasakan Siti Sarah tentang premis tersebut yang turut tular baru-baru ini sehingga tersiar di muka depan sebuah akhbar bahasa Inggeris.

Gua Lepak yang baru beroperasi pada bulan lalu merupakan tarikan terbaharu di Batu Caves, Gombak, Selangor yang juga dikenali dengan nama Gua Al-Kahfi.

Lokasi itu yang sebelum ini merupakan perkampungan budaya dan inap desa telah diberi nafas baharu oleh pengasas dan pengusahanya, Ismail Jaafar, 64, dengan menawarkan pengalaman unik menjamu selera di dalam gua batu kapur. Ia satu pendekatan baharu yang pastinya agak asing dalam dunia gastronomi di negara ini khususnya di ibu kota atau Lembah Klang.

Menurut Ismail, Gua Al-Kahfi dahulunya diusahakan sebagai D’Gua Kahfi Cultural Village.

“Saya menemui gua tersebut yang berada dekat dengan rumah saya pada sekitar awal 1980-an. Pada awalnya ia merupakan kawasan terbiar dan dipenuhi semak samun serta menjadi tempat takungan air.

“Pada 1983, saya mula meneroka gua tersebut, membersihkannya dan buat beberapa pengubahsuaian laluan air untuk mengeringkan takungan di dalamnya,” kata lelaki asal Kedah itu.

Destinasi gastronomi di gua ini dikunjungi rakyat Malaysia pelbagai kaum yang tidak mahu melepaskan peluang menikmati pengalaman menjamu selera di tempat yang cukup unik.

Kongsinya lagi, kerja-kerja penerokaan gua mengambil masa sekitar tujuh hingga lapan tahun sebelum pembinaan infrastruktur di luar gua dan kemudian pada 2010 ia dibuka sebagai pusat pelancongan.

Pembukaan Gua Al-Kahfi sebagai tarikan pelancongan turut mendapat sokongan dan galakan daripada pihak berkuasa tempatan dan ahli Majlis Perbandaran Gombak ketika itu, Rahim Ahmad Kasdi.

Selama beroperasi sebagai D’Gua Kahfi Cultural Village, lokasi itu bukan saja mempunyai gua yang boleh dilawati tetapi turut dilengkapi kemudahan inap desa, madrasah, ruang majlis untuk perkahwinan dan aktiviti keagamaan seperti qiamullail, kelas mengaji al-Quran serta majlis ilmu.

Bagaimanapun, seperti pusat pelancongan lain, D’Gua Kahfi Cultural Village turut terkesan oleh pandemik Covid-19 yang menyebabkan operasinya tergendala selama beberapa tahun.

“Disebabkan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami terpaksa menutup gua Al-Kahfi, namun di sebalik musibah itu, anak saya, Muhammad Aidid Haiqal mendapat idea untuk mengubah pengurusan kepada medan selera.

“Selepas PKP berakhir, saya sekeluarga membuat beberapa ubah suai dan menambah dekorasi dengan menjadikan sebahagian kawasan gua sebagai ruang makan serta memberi nama komersial Gua Lepak,” ujarnya.

Jelasnya lagi, ubah suai yang dilakukan tidak mengubah dekorasi seni khat yang menghiasi dinding gua sebelum ini serta turut mengekalkan pembentukan stalaktit dan stalagmit sedia ada.

Sementara itu, Muhammad Aidid Haiqal, 26, yang juga bertanggungjawab sebagai juruteknik Gua Lepak memberitahu, ciri asli gua tersebut masih dikekalkan supaya pengunjung dapat merasai pengalaman sebenar berada di dalam gua batu kapur.

“Secara semula jadi, gua ini sudah mempunyai laluan angin sendiri, jadi pengunjung tidak akan berasa panas ketika duduk di dalamnya.

“Bagi memastikan keselamatan pengunjung, kami membuat ubah suai untuk laluan air supaya jika hujan, air akan disalurkan keluar dan tidak memenuhi kawasan gua,” katanya yang turut melakukan penyelenggaraan gua setiap hari.

Dengan adanya ruang makan di dalam gua, pengunjung boleh nikmati pelbagai hidangan dari gerai dan vendor yang menawarkan sajian tradisional dan Barat.

Tidak hanya di dalam gua, ruang makan juga dibuka di kawasan luar gua yang bertemakan rumah tradisional Melayu.

Pengunjung boleh datang untuk melawat atau merasai nuansa makan dalam gua secara percuma sahaja.

Ujar Muhammad Aidid Haiqal, Gua Lepak yang beroperasi dari pukul 5 petang hingga 1 pagi boleh menempatkan keseluruhan 700 pengunjung pada satu masa termasuk 150 orang di ruang makan dalam gua.

“Gua Lepak mendapat kunjungan rakyat berbilang kaum dan kita rancang untuk menambah pilihan makanan meliputi pelbagai bangsa,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN