SHILA AMZAH

Malam ‘dunia’ Shila Amzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH 20 tahun berlari, jatuh dan bangun dalam industri, Shila Amzah puas dapat membawa peminat mendalami dunia muziknya sepanjang berkarier.

“Segala suka duka, penat lelah dan getir kehidupan saya akan dipersembahkan malam ini.”

Itu ungkapan dari bibir Shila sewaktu berdiri di pentas Shila Amzah Journey To The Future Live Tour 2023 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hujung minggu lalu.

Tanpa menidakkan segala usaha, persembahan penyanyi yang memulakan karier seawal usia 10 tahun itu lengkap dengan vokal cemerlang dan aksi penuh bertenaga yang memukau seluruh isi dewan.

Perjalanan ‘warna-warni’ segenap kanvas kehidupannya sepanjang berkarya dari zaman One In A Million (OIAM) sehingga mencipta nama ke persada antarabangsa, semua itu terzahir.

Ketika jarum jam menunjukkan tepat pukul 8.30 malam, Shila tampil dengan busana biru membuka tirai persembahan dengan lagu Dunia Baru, Yang Teristimewa dan Raungan Suara.

Sebagai penyanyi dan juga penulis lagu, pemilik nama lengkap Nurshahila Amir Amzah akui pernah berhadapan dengan perasaan sedih dan kecewa yang memberikan inspirasi untuk menulis.

“Seperti yang anda sedia maklum, saya sangat sinonim dengan lagu ‘galau’.

SELEPAS di Kuala Lumpur, pelantun lagu Patah Seribu itu bakal meneruskan momentum konsert menggegarkan Singapura, Sabah, Pulau Pinang dan dua lokasi di Indonesia.

“Kalau tidak cukup sedih memang tak sah dan walaupun gembira tetap akan menulis lagu galau,” selorohnya sebelum meneruskan persembahan dengan senarai hit, Tiada Dirimu, Jauh Hati, Patah Seribu dan Masih Aku Cinta.

Menampilkan sisi dramatik sebelum menyampaikan lagu Masih Aku Cinta iaitu karya mengenai kisah lampau kegagalan dalam percintaan, Shila meninggalkan pesanan agar siapa pun berjaga-jaga saat menjalinkan cinta dengan penulis lagu.

“Susah kalau bercinta dengan penulis lagu. Kalau awak layan bagus saya akan gembira.

“Namun, apabila dia layan tidak okey, sama ada perkara suka atau duka tetapi akan jadi lagu,” selorohnya sebelum memulakan nyanyian.

BETEMBUNG tarikh dengan konsert Blackpink di Buklit Jalil, Shila Amzah tak kalah memberikan persembahan hebat buat peminatnya.

Dedikasi

Untuk suku pertama durasi konsert, Shila sudah cukup menunjukkan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi hebat, semua bingkisannya menusuk hati peminat.

Tidak berlama-lama membanjiri jiwa 3,000 penontonnya dalam emosi galau, Shila kemudian menyegarkan pentas dengan persalinan merah jambu yang serba ceria untuk segmen penghargaan.

Segmen berkenaan khas buat para idola yang banyak menyuntik inspirasi dan memberi ilham untuknya terus berkarya.

Sempat mendendangkan Tamparan Wanita, Sinaran, Butter, Uptown Funk, Bila Resah, Seribu Impian dan Kau Kunci Hatiku Dalam Hatimu, judul-judul berkenaan sebagai dedikasi Shila buat menghargai pengkarya-pengkarya hebat yang menyuntik semangat sehingga tahap ini.

Turut mengundang sahabat muziknya, Sekumpulan Orang Gila (SOG) untuk bersama-sama ‘menggila’ di atas pentas, Shila meneruskan momentum konsert dengan lagu yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36), Pelukan Angkasa, sebelum pentas dipanaskan lago dengan Terbanglah oleh SOG.

Memaksimumkan kesempatan berpadu vokal, Shila sempat bergurau dengan SOG untuk meneruskan kolaboratif mereka yang sebelum ini pernah meninggalkan impak luar biasa.

SEPANJANG beraksi di atas pentas selama dua jam, Shila Amzah menggayakan empat persalinan yang dibantu dengan pasukan yang hebat.

Persembahan istimewa

Istimewa kali ini, Shila turut membawakan beberapa lagu antarabangsa yang mengukuhkan sayapnya sewaktu mengukir nama di China ketika menyertai program nyanyian China iaitu I Am A Singer dan Asian Wave.

Meskipun tidak memahami setiap bait lirik yang disampaikan, penyanyi bertaraf antarabangsa itu menunjukkan kehebatan luar biasanya menyampaikan lagu berbahasa Mandarin, Zui

Chang De Dian Ying, Forever Love, Yang Cong dan Xiang Ni De Ye.
Menambah nilai terhadap kemampuannya, Shila turut menampilkan medley lagu-lagu luar negara seperti Akin Ka Nalang (Tagalog), Caruso (Itali) dan Je Suis Malade (Perancis).

hasil latihan fizikal menguatkan stamina dengan hanya bermain badminton, Shila berjaya memaksimumkan seluruh kekuatan menjayakan sebuah konsert yang energetik.

Cinta sayang

Dua jam penuh konsistensi, hanya tepukan gemuruh dan senyuman penuh kepuasan seluruh penonton membuktikan betapa bermakna menyaksikan sebuah konsert pemilik nama pentas Shila Amzah itu.

Konsert yang penuh makna buat Shila tersebut dihadiri oleh ahli keluarga yang menjadi tulang belakang sepanjang berkarier iaitu ibu bapanya, Datuk ND Lala dan Datin Fauziah Sarman.

Kemunculan anaknya iaitu Seth Uwais turut mencuri tumpuan kerana tidak meragam sepanjang konsert ditemani adik-adik Shila, Syada Amzah dan Syahir Amzah.

Selain ahli keluarga, teman lelakinya iaitu pempengaruh media sosial, Ubai turut hadir bagi memberikan sokongan kepada kekasihnya itu.

Sebelum melabuhkan tirai konsert, Shila meninggalkan pesanan positif buat penonton yang hadir.

“Saya harap semua pulang ke rumah dengan memori terindah dan saya hargai semua yang awak berikan.

“Diharapkan agar rasa cinta dan sayang kita akan berkekalan selamanya dan tidak berhenti,” ujarnya ringkas sebelum menyampaikan lagu Tulus.

Tidak lengkap konsert jika tidak mempersembahkan lagu wajib iaitu Memori Tercipta, sekali gus menjadi penutup tirai konsert.

MEMPERSEMBAHKAN 18 buah lagu selama dua jam, Shila berjaya membawa penonton menyelami ‘dunianya’ muzik yanh bermula seawal usia kanak-kanak sehingga kini bergelar ibu tunggal anak satu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN