PORT DICKSON – Suasana di Pantai Telok Kemang di sini suram disebabkan pengunjung tidak ramai walaupun musim cuti persekolahan sudah bermula minggu lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati banyak kawasan parkir yang kosong dan keadaan di sekitar pantai tidak dipenuhi dengan orang ramai berbanding kebiasaannya cuti sekolah.
Seorang peniaga baju dan barang cenderamata, Suzana Jantan, 57, berkata, sepanjang 30 tahun meniaga di Pantai Teluk Kemang dia tidak pernah melihat suasana yang begitu suram pada musim cuti sekolah malah jualannya juga agak teruk.
“Ini pertama kali saya lihat kawasan parkir kosong dan orang lengang, kalau dulu musim cuti sekolah hari biasa pun meriah ramai orang datang bercuti untuk mandi di pantai.
“Dari segi jualan memang sangat berbeza hari ini (semalam) nak dapat RM100 pun susah, kalau dulu boleh dapat sekitar RM500 sehari.
“Memang tertekan bila pengunjung tidak ramai kami peniaga pun tiada pendapatan tetap harapkan hujung minggu tetapi jualan tidak juga banyak seperti dulu sejak penularan pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui di Pantai Telok Kemang di sini semalam.

Pantai di sekitar Port Dickson kurang sambutan ketika musim cuti persekolahan. – MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Suzana berkata, kedainya dibuka pada pukul 12 tengah hari dan ditutup pada 7 malam disebabkan faktor kekurangan pelanggan.
“Mungkin orang lebih berjimat dalam keadaan ekonomi sekarang, tidak lama lagi sekolah hendak dibuka dalam masa masa puasa Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha perahu pisang atau ‘banana boat’, Baderom Zaman Abu, 44, berkata, dia juga terkesan apabila Port Dickson tidak dibanjiri pengunjung seperti musim cuti persekolahan sebelum ini
“Nampak sangat orang kurang bercuti, dalan keadaan sekarang kos sara hidup semakin tinggi mungkin mereka utamakan barang makanan, bulan depan pula banyak hendak guna duit anak sekolah dan hari raya mungkin itu antara faktor.

“Sehari nak habis satu tong minyak (20 liter) untuk bot pun tidak dapat, pendapatan pula berkurang separuh dulu boleh cecah RM1,500 sehari sekarang RM700 sahaja,” katanya yang mengusahakan bot pisang sejak lima tahun lalu.
Bagi pengusaha kereta sewa mainan, Roselyza Roszat, 31, pula berkata, kali terakhir pengunjung paling ramai datang ketika fasa kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan ketika penularan pandemik Covid-19 semakin berkurangan pada Oktober 2021.
“Masa itu tidak menang tangan, dari pagi hingga tengah malam penuh. Kalau sekarang dapat 300 ke 400 pelanggan sehari sudah bersyukur berbanding tiga kali ganda orang sebelum ini.
“Saya berharap Port Dickson kembali meriah dan menjadi kawasan tumpuan untuk orang ramai bercuti bersama keluarga.
“Harap minggu depan ramailah orang,” katanya.
Musim persekolahan sesi akhir 2022 bermula 18 Februari lalu sehingga 19 Mac depan.














