SHAH ALAM – Kegiatan penjualan cecair pedon dikatakan berlaku secara ‘drive thru’ melibatkan pelajar dan pembekal khususnya di luar sesi persekolahan.
Para pelajar juga sanggup bekerja sambilan termasuk dalam bidang katering pada hujung minggu bagi mengumpul wang untuk mendapatkan cecair mengkhayalkan itu.
Modus operandi itu terbongkar menerusi pengakuan beberapa pelajar sekolah berusia antara 13 dan 16 tahun yang ditangkap selepas menghisap vape yang mempunyai cecair itu semasa sesi persekolahan.
Seorang guru di Lembah Klang dikenali Rahman, 40-an, berkata, para pelajar dan pengguna vape ini mempunyai komuniti tersendiri dan mereka hanya berurusan dengan pelanggan tetap sahaja.
Katanya, cara pembayaran pula sama ada menerusi wang tunai atau pemindahan wang dalam talian kepada pembekal.
“Pelajar yang ditangkap itu mengaku mendapatkan ‘bekalan’ dengan berjumpa pembekal sama ada ketika memancing atau di tepi jalan.
“Pembekal hanya titiskan dalam pod vape mereka kemudian berlalu pergi seperti ‘drive thru’. Biasa mereka akan ambil dalam dua titis yang berharga keseluruhan RM20. Kalau botol seberat 10 mililiter boleh mencecah harga sehingga RM180,” katanya kepada Kosmo! baru- baru ini.
Kata guru tersebut, setakat ini terdapat dua kes melibatkan pelajar sekolah yang mempunyai simptom ‘lalok’ ganja seperti mulut kering, mata merah dan kuyu.
Tambahnya, cecair pedon itu telah popular sejak setahun lalu dalam kalangan pelajar sekolah.
“Secara umumnya, gejala vape memang berleluasa di sekolah. Sepanjang sesi persekolahan tahun ini, kira-kira 60 vape dirampas daripada pelajar.
“Malah, ada antara mereka sanggup menyimpan vape dalam seluar dalam dan sekitar kawasan sekolah terutama di pasu pokok bunga dan serai,” katanya.
Jelas Rahman, port yang selalu digunakan bagi melepaskan gian vape adalah di tandas, bilik kosong dan tepi bangunan.
“Tambahan, baunya tiada dan tidak seperti rokok. Kita mengetahuinya selepas dimaklumkan rakan-rakan pelajar yang prihatin terhadap isu itu,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi guru dikenali Fauzi, 40, berkata, dianggarkan sebanyak lima kes rampasan vape setiap bulan daripada pelajar di sekolah tempatnya mengajar.
Malah katanya, ada pelajar juga memaklumkan mereka mula belajar menghisap vape sejak dari sekolah rendah.
“Setakat ini, kita ada tiga kes berkaitan pedon hasil rampasan vape dan pelajar sendiri yang membelinya hasil pendapatan sampingan,” katanya.















