GEORGE TOWN – Penang FC belum memberi ‘kata putus’ sama ada aksi perlawanan Liga Super 2023 akan terus berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan atau diadakan secara berselang-seling di Stadium Bandaraya nanti.
Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew berkata, bagaimanapun keputusan itu dijangka diumumkan seminggu sebelum kancah perlawanan bola sepak tempatan itu bermula.
“Perlawanan pertama Penang FC di tempat sendiri akan berlangsung pada 1 Mac depan dan masih ada kurang sebulan untuk pihaknya membuat keputusan.
“Apapun keputusannya, saya percaya Penang FC sudah bersedia untuk beraksi di kedua-dua lokasi. Tak kisah yang mana (sama ada di Batu Kawan atau Stadium Bandaraya).
“Dulu, memang kita was-was untuk main di Stadium Negeri Batu Kawan kerana padang ketika itu tidak begitu sesuai. Tapi sekarang, apabila kita tengok keadaan semasa termasuk ketika hujan dan sebagainya, ia memberi kelebihan. Jadi, kita perlu membuat pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pertemuan bersama sekumpulan wartawan sukan di negeri ini yang dihoskan oleh seorang tokoh korporat tempatan iaitu Datuk Steven Lim.
“Apapun kita tidak akan ganggu dia punya ‘flow’ (jadual yang ditetapkan). Sekiranya kita kata Stadium Bandaraya maka, beberapa perlawanan akan berlangsung di sana.
“Namun, sekiranya ada ‘big game’ (perlawanan tumpuan), mungkin kita akan umum lebih awal beraksi di mana. Bukan esok ‘game’, hari ini baru kita umum,” ujarnya.
Beritahunya lagi, kapasati jumlah penonton di Stadium Negeri Pulau Pinang mampu menampung kehadiran seramai 34,000 orang manakala di Stadium Bandaraya pula maksimum hanya 9,000 penyokong.
Tambah beliau, walaupun keputusan akhir akan dibuat oleh Penang FC sendiri namun, ia perlu mendapat persetujuan daripada pengelola Liga Malaysia iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas meneliti beberapa faktor yang berkaitan.
Dalam perkembangan lain, Jeffrey memberitahu, beliau sependapat dengan pengendali pasukan, Manzoor Azwira bahawa Penang FC memerlukan masa untuk membentuk lebih keserasian antara pemain musim ini.
“Musim lepas, kita ada sedikit masalah. Pemain import masuk lambat, pemain ‘local’ (tempatan) pula tak begitu serasi dan sebagainya.
“Jadi, peluang untuk bermain dalam dua lagi aksi persahabatan selepas ini (termasuk menentang Negeri Sembilan di Stadium Bandaraya Sabtu ini) penting untuk kita membuat penilaian,” kata beliau.
Untuk rekod, daripada 27 pemain yang membarisi skuad Penang FC kali ini, sembilan daripadanya merupakan pemain import termasuk bek kental kelahiran Brazil, Rafael Vitor yang akan beraksi untuk musim keempat bersama pasukan berkenaan. – KOSMO! ONLINE