fbpx

Ayam, sosej import dilucutkan hak jadi makanan ternakan ikan keli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Unit Stesen Kuarantin Haiwan Rantau Panjang, Maqis Kelantan Ruzita Meli (kiri) menyerahkan sumbangan kepada wakil Jabatan Penjara Malaysia (JPM) Machang hari ini.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

RANTAU PANJANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Kelantan menyerahkan makanan berupa ayam sejuk beku dan sosej import bernilai RM13,108 yang telah dilucutkan hak kepada Jabatan Penjara Malaysia (JPM) Machang di sini hari ini.

Pengarah Maqis Kelantan, Mohd. Azam Yahya berkata, ayam sejuk beku seberat 1.284 tan dan 334 paket sosej yang telah dilucutkan hak itu diserahkan kepada JPM untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi banduan di penjara berkenaan.

Menurutnya, penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ini menyukarkan JPM Machang untuk mendapatkan bahan mentah selain pihak berkenaan memerlukan kos yang tinggi untuk mendapatkan bahan tersebut.

“Sebagai tanda sokongan, pihak kami menyerahkan barangan makanan yang telah dilucutkan hak kepada JPM Machang.

“Hasrat kami ialah untuk memenuhi keperluan bekalan bahan mentah di bawah program rehabilitasi banduan. Diharap sumbangan ini dapat menampung kos bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan kepada ternakan ikan keli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Azam berkata, bahan mentah itu merupakan hasil sitaan barangan import keluaran pertanian yang telah dilucutkan hak kerana tidak mematuhi aspek perundangan di negara ini.

Katanya, penyerahan itu selarad dengan Seksyen 11 di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)

“Tindakan ini merupakan salah satu daripada cara pelupusan keluaran pertanian yang disita dan telah dilucutkan hak bagi makanan masih boleh diguna untuk mengelakkan pembaziran.

“Penyerahan ini sekali gus dapat membantu agensi kerajaan seperti JPM Machang yang memerlukannya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI