BERSYUKUR mampu membuktikan bakat hingga layak bergelar juara Famili Duo, Yamani Abdillah dan Zaki Yamani mengakui kehadiran bapa mereka, Datuk Jamal Abdillah buat julung kali selepas lapan minggu pertandingan benar-benar bermakna.
Bangga bercampur terharu, mendengar pengumuman hos dan melihat sendiri kelibat kemunculan Raja Pop itu di kerusi penonton malam tadi juga membuatkan mereka sebak, namun semakin bersemangat memberikan persembahan terbaik.

Gemuruh bapa muncul
Seperti adiknya, Yamani, 21, menghadiahkan detik manis yang diiringi sorakan gemuruh khalayak itu bukan saja kepada ibu masing-masing, bahkan untuk bapa mereka.
“Sebenarnya kemunculan babah (panggilan untuk ayah) jadi kejutan buat kami sebab sampai petang sebelum malam final pun dia masih berada di rumah.
“Ini pertama kali babah datang tengok kami bertanding yang buatkan kami gementar hingga saya tengok Zaki macam nak menangis dengar nama babah disebut ketika kami masih menunggu giliran.
“Apabila tengok babah bangun selepas kami selesai membuat persembahan lagi menggandakan rasa syahdu kerana kami dapat buktikan mampu membawakan aneka genre termasuk dangdut yang dia tak pernah bawakan.
“Kiranya kemenangan ini untuk semua insan penting dalam hidup kami terutama babah, manakala ganjaran wang tunai pula kami berniat serahkan kepada emak masing-masing,” katanya.
Melihat penyertaan dalam pertandingan tersebut sebagai rahmat yang mengeratkan kembali hubungan mereka, penyanyi berkongsi kasih seorang bapa itu berharap, semangat duo mereka berpanjangan selepas ini.
Akui Zaki, Famili Duo seumpama penyambung ikatan antara mereka untuk kembali bertaut selepas beberapa tahun terpisah.
“Saya sudah lupa kenangan ketika berusia lapan tahun dan abang pula 10 tahun walaupun kami rapat ketika itu. Selepas mama dan babah berpisah, kami pun menjauh.
“Kiranya sekarang kami sudah kembali bersatu malah selepas ini kita harapkan dapat lagi berkolaborasi atau hasilkan single baharu dan buat banyak projek lain,” luah penyanyi muda itu.

Dapat ‘standing ovation’
Terdahulu persembahan memukau pasangan adik-beradik itu memikat hati juri tetap, Mas Idayu dan Ajai sehingga diberi tepukan ‘standing ovation’.
Tampil kreatif menyanyikan lagu secara medley, konsep ditampilkan mereka menarik perhatian apabila membawakan karakter popular sebagai The Mask dan Joker.
Zaki dan abangnya menyampaikan medley Potret dan Pelukan Angkasa untuk segmen pertama, disusuli medley Hutang, Bunga dan Kau Pun Sama bagi segmen kedua.

Dipuji juri
Menurut Mas Idayu, persembahan Osama dan Zaki layak diberi penghormatan kerana tampil berani membawakan konsep berbeza.
Selain juara yang meraih ganjaran utama RM100,000, Ayda dan Fyna Jebat di tempat kedua pula menerima RM20,000.
Pemenang ketiga, Wani Kayrie dan Bella Astillah berada di tangga ketiga dengan hadiah bernilai RM15,000.

Pasangan duo sepupu, Sissy Imann dan Naim Daniel pula tidak berputih mata dan tetap pulang dengan wang tunai bernilai RM10,000.
Terdahulu, tujuh pasangan dipilih untuk bertanding dalam program realiti kekeluargaan selama lapan minggu tersebut.
Berkonsepkan kalah mati, peserta yang akur meninggalkan pentas ialah Ara Johari dan sepupunya, Shaffiq Erwin, Sabhi Saddi dan Fareed PF K-Cliquen serta Siti Sairah dan Siti Saida.
Persaingan Famili Duo yang bermula pada 18 Disember tahun lalu menyaksikan Mas Idayu dan Ajai sebagai juri tetap, manakala Janna Nick bersama Sean Lee bertindak selaku hos.















