KERETA sedan seperti kurang mendapat sambutan jika dibandingkan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) sejak kebelakangan ini.
Penulis melihat pengeluar-pengeluar kenderaan lebih fokus kepada jenis SUV.
Ada antara jenama Jepun yang popular juga tidak lagi menawarkan kenderaan jenis sedan sebagai tawaran kepada pembeli-pembeli di Malaysia.
Namun, sebenarnya peminat-peminat kereta sedan masih ada. Kereta sedan yang popular sebelum ini terdiri daripada segmen A, B, C dan D.
Baru-baru ini, penulis berpeluang untuk memandu uji sebuah unit kereta sedan segmen D daripada Honda Malaysia. Accord generasi ke-10 itu telah dilancarkan pada awal tahun 2020.
Dua varian ditawarkan 1.5 TC dan 1.5 TC-P merupakan varian pemasangan tempatan (CKD) di kilang jenama itu di Pegoh, Melaka.
Model Accord ini hadir dengan rekaan luaran yang lebih dinamik berbanding sebelum ini dengan profil sebuah ‘fastback’ memberikannya imej sporty.
Lampu hadapannya jenis LED dengan lampu nyalaan siang kelihatan nipis diapit dengan gril krom di belakang logo ‘H’. Penulis suka bahagian hadapan Honda Accord ini.

Pada bahagian belakang pula rekaan lampu LED nampak seperti ‘stapler’ atau pengokot. Ekzos berkembar juga merupakan sebahagian daripada penggayaan luarannya di bahagian belakang.
Perbezaan dua varian ini di bahagian luaran melibatkan rim dan tayar sahaja. 1.5 TC menggunakan rim bersaiz 17 inci dengan tayar 225/50, manakala 1.5 TC-P pula menggunakan rim 18 inci dan tayar berukuran 235/45.
Accord yang penulis pandu uji kali ini ialah varian 1.5TC-P yang merupakan varian tertinggi ditawarkan.
Model ini menggunakan enjin 1.5 liter turbo dengan transmisi CVT. Kombinasi itu menawarkan kuasa maksimum 201PS pada 5,500rpm dan tork tertinggi pada 260Nm pada 1,600 hingga 5,000rpm.
Bagi saya, enjin ini cukup bagus kerana dengan kapasiti tidak melebihi 2.0 liter ia mampu untuk membawa kereta dengan berat sekitar 1,494 kilogram (kg) tanpa masalah.
Sepanjang pemanduan, kuasa yang diberikan cukup walaupun dalam keadaan mendaki atau memotong kenderaan lain.

Atas kertas, kelajuan maksimum kereta sedan ini ialah 190 kilometer sejam (km/j). Kadar pecutan dari pegun hingga 100 km/j pula dalam masa 9.1 saat. Penggunaan petrol adalah sekitar 6.3 liter per 100 kilometer (km).
Masuk ke ruang kabin, sistem infotainment lapan inci dilengkapi dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, subwoofer serta sepuluh speaker (pembesar suara).
Tempat duduk pula menggunakan upholsteri kulit dan tempat duduk pemandu hadapan dengan kuasa lapan hala serta memori, manakala penumpang pula empat hala. Tempat duduk penumpang hadapan juga boleh dilaras dengan butang kawalan di sebelah sisi.
Antara ciri keselamatan yang ditawarkan seperti enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Penyerahan Tangkas (AHA), ABS, Bantuan Brek dan Bantuan Mula Bukit.

Varian 1.5 TC-P ini juga hadir dengan ciri-ciri Honda Sensing yang turut melengkapi hampir semua model Honda pada masa ini.
Ciri-ciri itu termasuk Amaran Berlepas Lorong (LDW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), manakala Fungsi Low Speed Follow (LSF) ialah tambahan baharu untuk kereta generasi ke-10.
Model ini juga hadir dengan penarafan keselamatan ASEAN NCAP lima bintang. Selain itu, ciri lain seperti kamera 360 darjah, Cross Traffic Monitor, Sistem Bantuan Tempat Letak Kereta Pintar dan sistem amaran deflasi tayar dapat memberi lebih kemudahan kepada pemandu.














