SISSY IMANN

Sissy Imann – Seminggu yang ‘gelap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ADAT dalam mana-mana pertandingan yang diadili juri pasti peserta terdedah kepada komen positif mahu pun negatif bersandarkan skala persembahan mereka.

Suka atau tidak, apabila memutuskan keinginan memasuki sesebuah pertandingan, setiap peserta seharusnya sudah menjangkakan sebarang risiko sekalipun sudah bergelar artis profesional.

MERAJUK dan patah hati sehingga berhari-hari berkurung, Sissy Imann diharapkan tetap membuat kemunculan meneruskan pertandingan konsert mingguan Famili Duo, Ahad ini.

Gosip undur diri

Lantas, isu membabitkan penyanyi Sissy Imann yang menitiskan air mata berikutan ulasan Mas Idayu usai persembahan bersama sepupunya, penyanyi Naim Daniel sebenarnya agak klise tetapi itulah hakikatnya.

Semua orang mudah larut dengan emosi dan air mata.
Bermula dengan deraian tangisan, membawa kepada pengumuman pembatalan acara pelancaran album sulung, seterusnya mencetuskan gelombang kebencian ramai terhadap Mas Idayu.

Tidak semena-mena juga, penyanyi dangdut senior yang sudah berbelas tahun duduk di kerusi juri pelbagai program hiburan itu dituding sebagai ‘pesalah’ dan mendapat jolokan baharu ‘juri jerit’.

Penyanyi berusia 28 tahun itu patah semangat dan kemurungan sehingga beberapa hari berkurung di bilik bahkan timbul desas-desus kononnya mahu berundur daripada pertandingan.

Hanya selepas tiga hari kejadian, Sissy tampil menerusi Instagramnya meluahkan kekosongan yang dirasai dek kegagalan memberikan persembahan terbaik menerusi konsert minggu keenam Famili Duo, Ahad lalu.

SISSY Imann dianggap pemerhati muzik sebagai anak seni berbakat besar.

Akui kosong

Sehingga artikel ini ditulis Rabu lalu, Sissy belum mampu mencari idea dan konsep sesuai untuk minggu separuh akhir program Famili Duo bertemakan Legenda/Idola.

“Hari ini, Rabu. Selama enam minggu sebelum, hari inilah di mana kita (Sissy dan Naim) sudah memuktamadkan konsep persembahan.

“Tapi minggu ini, dalam otak saya kosong. Tak ada lagu. Tak ada visual,” tulisnya sebagai luahan hatinya berhadapan situasi berkenaan.

Hanya menerusi beberapa patah ungkapan dalam media sosial, Sissy ternyata belum bersedia berhadapan media.

Sebarang maklum balas hanya dibuat menerusi bapanya, Mohammad Kamil Moustaffa yang sedia berkongsi perkembangan terkini si anak kesayangan.

Dedah lelaki yang lebih sembilan tahun menjadi saksi jatuh bangun Sissy dalam arena muzik, tidak pernah lagi anak gadisnya itu dilihat serapuh ini.

Lebih meyakinkan betapa ‘koyak’ dan patahnya sayap hati Sissy, album sulung yang ditunggu sekian lama dan dirakam di studio ikonik, Studio Abbey Road, London juga hanya dijual (sebagai bentuk sumbangan) pada kadar RM20.

Dalam situasi tersebut sudah tentu Mas Idayu dituding sebagai punca segala lara yang mendorong penyanyi juga komposer muda itu bertindak sedemikian.

Berbondong-bondong kata nista singgah dalam ruangan komen juri yang berpengalaman lebih 16 tahun mengadili pertandingan nyanyian termasuk di Indonesia itu,

Menegaskan itulah pendekatan penjurian, selain kritikan ikhlas bukannya serangan peribadi, Mas Idayu turut dilihat menutup ruangan komen bagi meredakan emosi ramai.

RAJUK hati Sissy mendapat perhatian ramai termasuk Naim Daniel yang berjanji sentiasa ada bersama-sama dengannya.

Nasihat Tok Ti

Ketika beberapa selebriti lain tumpang memanaskan isu dengan hujah berkaitan tanggungjawab juri dan kaedah penjurian, kenyataan penghibur kesayangan ramai Datuk Seri Siti Nurhaliza ada rasionalnya.

Dalam nada memujuk, Sissy diminta berfikiran positif, selain jangan mudah berputus asa meskipun mendapat kritikan tegas daripada juri.

Siti menasihati penyanyi lebih terbuka dan kental untuk terus berada dalam industri seni.

“Jangan putus asa kerana dalam industri seni, itulah sepak terajang yang perlu kita hadapi. Lagi-lagi bila terbabit dalam pertandingan yang membenarkan kita dikritik dan ditegur walaupun pedih di hati.

“Bagi saya, semua sedia maklum cara Mas Idayu memang begitu (lantang). Juri ada penjurian dan cara masing-masing dalam menegur.

“Untuk jadi artis, seseorang itu perlu kental dengan sepak terajang dalam industri seni hiburan,” katanya.

TANGISAN Sissy Imann mengundang polemik sekali gus menyita perhatian ramai peminat dan rakan artis yang menyalurkan sokongan buatnya.

Mampu pergi jauh

Menyingkap perjalanan Sissy, ramai menyenangi karya serta bakat penyanyi yang bukan calang-calang pengetahuan serta berpendidikan formal muziknya.

Nyanyian dan muzik sudah menjadi makanan harian buat lepasan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pendidikan Muzik) kelas pertama itu.

Jika sebelum ini ramai penyanyi senior yang bersusun trofi pencapaian dikritik teruk seolah-olah tidak tahu menyanyi kekal tersenyum ke akhir garisan, kenapa tidak Sissy juga begitu.

Hakikatnya Sissy mampu pergi jauh dan sebaris dengan penghibur hebat lain, terserah mahu ikut rasa atau akal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN