KUALA LUMPUR – Penduduk yang menetap di sekitar Jalan Abraham Off Jalan Imbi di sini bersyukur apabila penempatan mereka kini kembali menjadi Kuala Lumpur selepas ‘Little Dhaka’ yang menjadi lokasi tumpuan ribuan warga asing terutamanya Bangladesh menetap diserbu baru-baru ini.
Wajah kelegaan dapat dilihat pada setiap penduduk yang ditemui kerana selama bertahun-tahun mereka terpaksa berkongsi dengan warga asing tersebut selain tidak selesa dengan aroma badan mereka.
Zaidi Rahmat, 53, berkata, baru sekarang mereka rasa seperti tinggal Kuala Lumpur selepas hampir 3,000 warga Bangladesh yang menghuni di situ diangkut Jabatan Imigresen dalam operasi baru-baru ini.
Katanya, suasana di kawasan flat tersebut sebelum ini seolah-olah tidak selamat untuk diduduki oleh orang tempatan kerana tahap kebersihan dan ancaman keselamatan.“Selepas kena serbu tempoh hari, saya dapat rasakan perubahan seperti warga asing yang bersidai beramai-ramai di bahu jalan sudah berkurangan.
“Tujuh tahun pertama bekerja di sini sebagai pemandu membuatkan saya agak terkejut dengan suasana di sini dan perlu membiasakan diri. Mereka ada di mana-mana sahaja hinggakan sebilangan membuka kedai,” katanya kepada Kosmo!.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, kawasan yang mendapat jolokan ‘Little Dhaka’ dan menempatkan 3,000 warga asing dengan majoriti dihuni rakyat Bangladesh diserbu sepasukan anggota imigresen.
Siasatan mendapati mereka menyewa di dalam rumah yang menempatkan enam bilik di premis yang sudah diubah suai dengan kadar sewa antara RM200 hingga RM600 sebulan.

Imbi, Kuala Lumpur pada awal tahun ini.
Dalam operasi tersebut, imigresen telah memeriksa seramai 1,051 warga asing dengan 544 daripadanya berusia antara setahun hingga 68 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
Bagaimanapun menurut Zaidi, walaupun sudah diserbu, jumlah warga asing di situ masih ada tetapi tidak seramai dahulu hingga menyesakkan fikiran dan tiada ketenangan.
Ahnaf Azeme, 36, pula berkata, sepanjang 30 tahun menetap di bangunan tersebut membuatkan dia tahu dengan kerenah setiap warga asing berdekatannya.
“Paling saya tidak boleh berkompromi ialah apabila ada warga asing yang mabuk di tengah jalan waktu malam. Mereka selalu buat kacau dan bising sehingga ganggu orang ramai.
“Dahulu, setiap malam pasti ada sahaja warga asing ditemui terbaring di bahu jalan, tidur di tengah jalan, bergaduh disebabkan mabuk, macam mana nak tinggal dengan aman kalau suasana begini,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan warga asing itu bukan beragama Islam kerana bagi muslim, mereka kuat beragama dan senang membuat urusan.
Bagaimanapun, Ahnaf yang juga Ahli Jawatankuasa Surau An-Nur TRX tidak menolak kemungkinan kawasan itu akan dipenuhi semula dengan warga asing ekoran terdapat tapak pembinaan berdekatan dengan flat tersebut.
“Keadaan itu akan mendorong mereka menetap di flat ini termasuk orang Rohingya,” katanya.
Ujar Ahnaf, penduduk tidak dapat menghalang warga asing untuk menetap di situ tetapi sepatutnya boleh dikawal dan meminta mereka menjaga adab.
“Ada yang mudah dengar kata dan sebahagian pula tidak memahami bahasa Melayu menyebabkan komunikasi menjadi sukar,” katanya.
Sehubungan itu, Ahnaf meminta pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas kepada mereka yang tidak mempunyai dokumen dan tinggal di situ kerana biasanya mereka tetap kembali menghuni di flat tersebut walaupun telah lebih 10 kali serbuan dilakukan.














