PETALING JAYA – Perkhidmatan estetik haram termasuk pembedahan menebuk pipi bagi membuat lesung pipit yang dipromosikan di media-media sosial boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami kecacatan kekal seperti buta.
Presiden Pertubuhan Doktor Estetik Berdaftar Malaysia (PDEBM), Prof Dr. Ungku Mohd Shahrin Mohd. Zaman berkata, sebarang pembedahan termasuk yang dilakukan oleh doktor bertauliah memang mempunyai risiko, apatah lagi jika dilakukan oleh mereka yang tiada kelulusan atau kelayakan.
“Apa juga rawatan, keselamatan orang awam menjadi keutamaan para doktor. Seperti membuat lesung pipit, ia dikira sebagai prosedur pembedahan. Jadi memang perlukan persiapan dan orang yang betul-betul pakar untuk buat. Nampak senang, tetapi komplikasi terlampau tinggi.
“Contoh lain, seperti buat fillers di kedutan mulut. Jika tersalah suntik fillers ke dalam pembuluh darah di bibir, seseorang itu boleh menjadi buta. Tidak termasuk lagi komplikasi lain seperti lebam, bengkak dan alahan yang dialami pesakit yang boleh menyebabkan kematian jika tidak ditangani,” katanya ketika dihubungi oleh Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya lagi, jika estetik haram itu menawarkan kaedah laser atau ‘ultrasound’ dan terkena pada saraf muka, ia juga boleh menyebabkan kecacatan kekal dan muka pesakit boleh menjadi senget.
Ungku Mohd. Shahrin yang juga doktor perubatan estetik berkata, permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat membuatkan estetik haram ini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, lebih-lebih lagi di Lembah Klang.
Jelasnya, ketika estetik diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 2000, doktor dalam bidang tersebut amat kurang walaupun permintaan tinggi dari dalam dan luar negara.
“Ketika itu, ramai yang bukan daripada bidang perubatan mengambil kesempatan untuk menjalankan servis tersebut untuk mendapatkan keuntungan.
“Tambahan pula, banyak institusi atau organisasi tidak berkelayakan yang menawarkan kursus-kursus estetik kecantikan beserta sijil. Jadi sebab itu estetik haram ini, bila ditanya sama ada mereka ada sijil atau tidak, mereka kata ada. Tapi kena tanya sijil apa, sebab kebanyakannya semua sijil yang tidak sah,” katanya.














