fbpx
Orang ramai menganggapnya satu pengalaman yang menakutkan tapi menyeronokkan.

Makan sambil naik bulu roma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIBA di pintu masuk kafe itu, mood seram mula meresapi diri apabila penulis perlu meniti tangga gelap dengan hujungnya terpasang lampu suram berwarna merah.

Pengalaman itu sama seperti penulis masuk ke ‘rumah hantu’ di pesta ria dengan perasaan berbaur yang memaksa diri melawan rasa takut, namun teruja apabila berjaya melepasi acahan segala jenis hantu di rumah tersebut.

Di hujung tangga, penulis disambut sebuah kaunter kecil dengan lilin hiasan penanda meja untuk diambil pelanggan yang ingin menjamu selera di restoran berkonsepkan ‘hantu’.

Usai memilih menu makanan yang terdiri daripada beberapa seleksi masakan Barat, pengunjung dibawa pula menuruni tangga suram di bahagian lain untuk ke meja makan.

Lima minit pertama untuk ke meja makan sudah memberikan penulis satu pengalaman berbeza yang mencetuskan gejolak adrenalin.

Setelah itu bermulalah pengalaman menikmati makan malam dengan keadaan bulu roma naik dan turun setiap kali didekati susuk hantu pontianak yang memakai baju koyak rabak bewarna putih lusuh dengan kesan darah, rambut panjang mengurai dan wajah menakutkan.

Bunian The Haunted Cafe itu merupakan satu tarikan baharu di lokasi tumpuan pelancong di Jalan Kampung Hulu, Melaka dan turut tular di laman sosial TikTok sejak dua minggu lalu.

Kafe yang menggunakan konsep unik dan terbaharu itu merupakan perniagaan yang diusahakan pasangan suami isteri, Rohzairee Zainal, 30, dan Aqilah Faqihah Abdul Karim, 26.

Menurut Rohzairee, konsep ‘makan bersama hantu’ itu merupakan mekanisme yang digunakan untuk mencipta kelainan dan memberikan pengalaman istimewa kepada pengunjung.

“Kafe ini dibuka pada 17 November lalu. Pada awalnya ramai yang tidak bersetuju dengan konsep ini, termasuklah ahli keluarga dan rakan-rakan yang mengatakan ia sebagai idea mengarut.

“Namun, kami tetap meneruskan perancangan memandangkan tiada lagi pengusaha yang berani memperkenalkan konsep ini dalam bidang makanan dan minuman (F&B) dan selepas seminggu dibuka, kafe ini menerima sambutan luar biasa daripada pelanggan terdiri dari pelbagai lapisan umur dan bangsa,” katanya.

Bunian The Haunted Cafe di Jalan Kampung Hulu, Melaka ini diusahakan oleh pasangan suami isteri Rohzairee dan Aqilah Faqihah.

Ujarnya, watak utama hantu di kafe tersebut adalah ‘Kak Ponti’ yang diberikan nama Mariam dan dua lagi hantu membantu memberikan mood seram kepada pelanggan.

Jenis hantu itu akan silih berganti mengikut musim seperti hantu Cina pada perayaan Tahun Baharu Cina dan penampilan hantu khas pada sambutan Hari Krismas ini.

“Kita tidak mahulah orang datang tengok hantu sama sahaja, jadi kita akan tukarkan watak hantu ini secara berkala dan mengikut musim tetapi hantu utama kita adalah pontianak yang diberikan nama Mariam.

“Kita juga telah khaskan peranan hantu ini mengikut jantina, misalnya hantu wanita ditugaskan untuk mengusik pelanggan wanita, begitu juga lelaki, jadi tak timbul isu kurang menyenangkan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai respons pelanggan, Aqilah memberitahu, rata-rata pelanggan mengunjungi kafe itu memberikan komen positif, malah lebih mengejutkan apabila ia menjadi destinasi pilihan buat golongan ibu bapa yang ingin mendidik anak kecil.

“Ada pelanggan yang datang kerana ingin memberanikan diri mereka, ada juga yang menjerit serta menangis ketakutan, namun ia merupakan sebuah kenangan lucu untuk dikenang bersama rakan-rakan serta ahli keluarga pada masa depan.

“Ada juga ibu bapa yang membawa anak kecil mereka ke sini kerana ingin menegur anak mereka untuk tidak nakal dan mendengar kata,” kongsinya.
Jelasnya, kafe itu menyediakan segmen hiburan iaitu sesi ‘bergelap’ dan hantu menari. Bagi segmen bergelap, lampu kafe akan dipadamkan sepenuhnya dan hanya hilaian hantu akan kedengaran.

“Ada pelanggan yang takut sehingga tertampar muka hantu dan sejak kejadian itu kita telah letakkan peringatan di kaunter atas supaya pelanggan tidak mencederakan hantu-hantu kami.

“Kesian juga pada hantu, dia terpaksa ambil cuti perubatan kerana kecederaan dialami,” katanya sambil ketawa.

Aqilah berkata, meskipun perniagaannya itu semakin dikenali ramai, namun ia tidak terkecuali daripada cabaran lain termasuklah kecaman daripada ‘masyarakat Facebook’ yang mendakwa konsep hiburan itu sebagai tahyul semata-mata.

“Saya ada baca beberapa komen dilemparkan netizen dengan berkata, konsep kami ini konsep bodoh, tahyul dan mengarut, malah ada juga mendoakan agar perniagaan kami ini lingkup.

“Bagaimanapun, sebelum buka kafe ini, kami telahpun mendapatkan nasihat daripada ahli kariah masjid Kampung Hulu berhampiran dan tidak mendapat tentangan, sebaliknya mereka menyokong usaha kami dan menganggapnya suatu idea yang menarik,” katanya.

Seorang pelanggan, Haslinda Mansor, 40, berkata, dia dan suami serta tiga anak mereka datang ke kafe tersebut bagi merasai pengalaman makan dalam suasana seram.

“Kami datang dari Johor ke Melaka kerana ada majlis perkahwinan, jadi sudah alang-alang berada di sini, kami singgahlah di Bunian The Haunted Cafe yang tular di TikTok ini.

“Bagi kami, ia pengalaman yang menyeronokkan, saya memang takut hantu tetapi hantu-hantu di kafe ini hanya sekadar hiburan, malah ada segmen hantu menari yang melucukan,” katanya.

Sementara itu, Aisyatul Syahierah Ridwan, 18, berkata, dia bersama tiga rakannya yang lain teruja berada di kafe tersebut dan mendakwa ia adalah kafe pertama berkonsepkan ala rumah hantu pernah dikunjungi.

“Selepas ini saya akan bawa keluarga pula ke sini, memang seronok dan akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan kerana kita makan sambil ditemani Kak Ponti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN