fbpx
Naluri Bakri kuat mengatakan bahawa wanita berkebaya hijau dan merah yang dilihatnya itu merupakan makhluk halus atau bunian. – ILUSTRASI HASAN SHAH

Misteri wanita cantik berkebaya hijau lintas jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA awal tahun 80-an, lebuh raya masih tidak banyak dibina di seluruh negara seperti hari ini.

Pengguna jalan raya pada era tersebut menggunakan jalan negeri yang menghubungkan satu daerah dengan daerah lain. Ketika ini, jalan tersebut dikenali sebagai jalan dalam oleh orang ramai.

Kisah yang ingin diceritakan ini melibatkan pengalaman seram dialami oleh seorang pekerja syarikat tenaga iaitu Bakri Hashim.

Lelaki berusia 64 tahun itu pernah melalui pengalaman penuh misteri semasa menggunakan jalan dalam di salah sebuah negeri di utara tanah air.

Bakri yang kini menetap di Banting, Selangor berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar tahun 1982 sewaktu dia bertugas syif pagi.

“Pada pukul 3 petang, saya bergerak dari tempat bertugas di Kuala Kangsar (Perak) untuk pulang ke rumah di Ipoh.

“Cuaca pada petang itu mendung dengan kilat sabung-menyabung. Hujan mulai turun semasa saya memandu kereta terpakai yang saya baru beli,” katanya ketika ditemui di Banting baru-baru ini.

Bakri berkata, jumlah kereta pada ketika itu tidak banyak di atas jalan raya kerana orang ramai lebih selesa menggunakan pengangkutan awam seperti bas.

Katanya lagi, dia memandu dengan penuh berhati-hati melalui jalan raya berselekoh tajam semasa hujan mencurah-curah ke bumi.

“Biasanya, perjalanan melalui jalan dalam dari tempat kerja ke Ipoh mengambil masa selama sejam. Namun, disebabkan hujan ia mungkin mengambil masa dua jam.

“Pelik juga petang itu kenderaan seperti lori, motosikal dan kereta tidak banyak seperti biasa,” katanya.

Jelas Bakri lagi, pada zaman itu, di kiri dan kanan jalan raya masih dipenuhi hutan tebal.

Justeru, dia perlu memandu dengan berhati-hati kerana bimbang ada binatang buas seperti harimau, ular sawa dan babi tiba-tiba melintas.

“Hujan lebat pada petang itu semakin reda, tetapi masih renyai-renyai sehingga menyebabkan saya memandu dengan perlahan.

“Walaupun jam di tangan saya menunjukkan pukul 4 petang, namun cuaca agak redup seperti waktu senja.

“Dalam jarak sekitar 50 meter, saya terlihat susuk tubuh seorang wanita yang ingin melintas dari sebelah kanan jalan.

“Saya terus memperlahankan kenderaan bagi memberi ruang kepada wanita berkenaan melintas jalan,” ujarnya.

Katanya, wanita berkebaya hijau merah itu membongkokkan badan untuk menanggalkan sepatunya, sebelum melintas jalan sambil menjinjing sepatu tersebut.

Bakri memberitahu, dia melihat wanita itu tersenyum dengan bibir merah bak buah delima merekah sambil memaparkan barisan gigi putih yang tersusun cantik.

“Tingginya kira-kira 180 sentimeter, wajah bujur sirih tanpa mekap dengan tubuh seperti model, kulit putih gebu dan sememangnya dalam kategori wanita jelita.

“Wanita cantik itu terhincut-hincut melintas jalan seolah-olah hujung kakinya tidak memijak bumi,” katanya.

Semasa peristiwa singkat itu berlaku, Bakri menyangka bahawa laluan tersebut mempunyai kampung atau rumah banglo.

Senyuman manis wanita tersebut membuatkan Bakri terpana, sebelum ia hilang selepas masuk ke dalam hutan.

“Wanita jelita itu ‘hilang’ seolah-olah ditelan hutan yang ada di sebelah kiri jalan. Mulanya, saya fikir mungkin perempuan misteri itu pulang dari kenduri kahwin berdasarkan penampilannya.

“Namun, setelah saya pandang kiri dan kanan kawasan itu, tiada langsung tanda-tanda ada penempatan penduduk,” katanya.

Pada saat itu bulu roma di tengkuk Bakri mula berdiri menandakan wanita yang menghadiahkan senyuman manis tadi bukan orang biasa.

“Saya seperti dibawa ke zon masa dan dunia lain, sebelum saya memberhentikan kereta di sebuah stesen minyak ketika jarak untuk sampai ke rumah berbaki 15 kilometer.

“Saya mengucap panjang dan beristighfar berkali-kali selepas diuji dengan pengalaman menakutkan pada petang itu,” katanya.

Bakri berkata, tiba-tiba keadaan di sekeliling kembali cerah dan hujan telah berhenti.

Ceritanya, selepas peristiwa itu, dia teringat dengan kisah seram diceritakan oleh kawan-kawannya yang pernah melalui kawasan itu.

“Saya tidak pasti sama ada kisah-kisah seram yang diceritakan sebelum ini mempunyai kaitan dengan pengalaman saya.

“Apa yang pasti wanita itu mungkin makhluk halus yang disebut sebagai bunian. Ini disebabkan kecantikan wanita itu sangat luar biasa dan berada di kawasan berhutan,” katanya.

Bakri berkata, kejadian itu membuktikan makhluk Allah SWT tidak terhad kepada manusia sahaja di atas muka bumi ini.

Tambahnya, pengalaman seram tersebut adalah yang pertama dan terakhir dilaluinya sejak menggunakan jalan dalam itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN