KANGAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis membuat tiga lagi tangkapan dan sitaan kenderaan asing dari Thailand kelmarin.
Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, hasil risikan dan maklumat, anggota penguat kuasanya berjaya menahan tiga lelaki selain menyita tiga kenderaan dari negara jiran di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.
“Kesemua suspek warga Thailand berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 di bawah Peraturan Larangan Eksport,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, penguat kuasa mengekori suspek yang didapati mengisi minyak dari satu stesen minyak ke stesen minyak lain sebelum mereka ditahan di ICQS Padang Besar.
Kosmo! difahamkan operasi membanteras ketirisan bahan bakar bersubsidi ke negara jiran itu melibatkan ibu pejabat KPDNHEP Putrajaya sekali gus merekodkan sembilan kes direkodkan di negeri ini setakat ini.
Berita berkaitan: Trak pikap Siam rancak ‘kutip’ diesel subsidi
Sementara itu, menurut sumber, selain taktik mengutip bahan bakar dari satu stesen minyak ke stesen minyak lain sebelum pulang ke negara jiran, terdapat juga kegiatan mengumpul produk petroleum itu di premis tertentu sebelum dibawa keluar ke negara jiran.
“Terdapat tindakan individu mengisi minyak sebelum dipam ke dalam bekas simpanan berupa tong dram di mana-mana premis seperti rumah atau stor yang dijadikan transit sebelum dibawa keluar ke negara jiran.
“Kes seperti itu juga telah diambil tindakan baru-baru ini hasil maklumat awam serta risikan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kosmo! turut dimaklumkan bahawa belum ada arahan agar kenderaan negara jiran mengisi bahan bakar di stesen minyak komersial tanpa subsidi kerana mekanisme tersebut sedang diperhalusi.
Bagaimanapun, pihak penguat kuasa sentiasa memantau pergerakan yang menyebabkan ketirisan barang kawalan bersubsidi di samping mengalu-alukan maklumat orang ramai dalam usaha membantu membanteras kegiatan yang merugikan rakyat negara ini.














