RINDU kepada insan yang telah berpulang ke negeri abadi adalah rindu yang tiada penghujungnya.
Perasaan sama terpendam dalam hati penyanyi Beby Acha saat bercakap tentang pemergian abang tercinta iaitu penyanyi Allahyarham Achik Spin, 12 tahun lalu.
Banyak kenangan manis yang masih diingati Beby tentang abangnya sehingga ke hari ini walaupun Achik atau nama lengkapnya Abdillah Murad Md. Shari sudah pergi buat selama-lamanya.
Sebagai adik perempuan, Acha atau nama lengkapnya Nur Aishah Md. Shari menyifatkan arwah sebagai seorang abang yang kelakar.

Bahkan sehingga kini, jika duduk berkumpul dan bersembang dengan adik-beradik yang lain, pasti mereka akan berbual tentang Achik yang telah tiada.
“Achik seorang abang yang kelakar. Kalau bersembang dengan adik-beradik, pasti kami akan teringatkan dia,” katanya.
Ujar Acha, ada impian Achik yang tidak kesampaian semasa hayatnya. Impian arwah adalah mahu membuka sebuah syarikat rakaman dan mahukan adik-beradiknya bernaung di bawah syarikat rakaman tersebut.
Impian arwah Achik
“Arwah sebenarnya mahu membuka sebuah syarikat rakaman dan ingin adik-beradik bernaung bawah syarikat rakaman tersebut kerana kami semua boleh menyanyi.
“Tapi apakan daya, impian itu tidak kesampaian,” katanya.
Reda atas apa yang berlaku, Acha bersama adiknya iaitu penyanyi Tajul Ariff meneruskan legasi dan perjuangan arwah abang mereka dalam bidang seni.
Acha sendiri mengakui sukar untuk membina nama kerana perlu bersaing dengan ramai pendatang baharu yang memiliki keistimewaan masing-masing.

Bagaimanapun, wanita berusia 31 tahun itu tidak patah semangat dan hanya mengikut kehendak yang disukai pendengar muzik.
“Saya akui memang agak susah untuk membina nama sebab ada saingan yang ramai. Ramai artis baharu yang masih segar timbul.
“Saya pun tidak ada apa-apa strategi untuk bersaing, cuma ikut sahaja apa kehendak pendengar suka.
“Asalkan orang suka dan boleh terima lagu-lagu saya, itu sudah cukup memadai,” katanya.
Tiru Baby Shima?
Pada masa sama, Acha mengakui agak terlewat memasuki industri dan mencipta nama sebagai penyanyi kerana kurangnya keyakinan diri.
“Saya agak lambat masuk industri sebagai penyanyi sebab tiada keyakinan diri. Penghujung usia 20-an baru keyakinan itu timbul,” kata Acha.
Selepas bergelar artis, terdapat pula cakap-cakap mendakwa Acha seakan-akan cuba meniru personaliti penyanyi dangdut, Baby Shima.
Selain memiliki nama pangkal yang hampir sama, kedua-dua penyanyi itu juga membawakan genre muzik yang serupa iaitu dangdut.

Acha bagaimanapun menepis dakwaan dirinya cuba menjadi seperti Shima, malah enggan disamakan langsung dengan penyanyi itu.
Kata Acha, persamaan nama pentas yang digunakan hanyalah secara kebetulan termasuklah genre muzik yang hampir sama.
“Sama ke? (dengan Baby Shima). Tidaklah. Sejak dari bangku sekolah lagi memang orang dah panggil saya dengan panggilan ‘Beby’. Janganlah samakan saya dengan dia.
“Selepas masuk dalam industri, saya gunakan terus nama gelaran itu. Senang,” katanya.
Lebar sayap
Acha menegaskan personaliti dirinya dengan Baby Shima juga berbeza.
“Semuanya secara kebetulan sahaja. Meskipun dikenali sebagai penyanyi dangdut, saya juga mahu dikenali sebagai penyanyi yang boleh membawakan pelbagai genre muzik berbeza.
“Itu adalah antara impian abang saya, Allahyarham Achik Spin yang yakin dengan bakat nyanyian saya ketika dia masih ada,” katanya.

Ketika disoal tentang keinginannya untuk mengembangkan kerjaya sehingga ke negara seberang (Indonesia) seperti yang dilakukan Shima, Acha juga tidak terkecuali mahukan peluang sama jika dibukakan pintu rezeki suatu hari nanti.
“Kalau ada rezeki kenapa tidak? Tidak salah untuk saya cuba menembusi pasaran muzik Indonesia. Sebab peluang dalam industri ini sangat luas. Insya-Allah, rezeki Allah itu ada.
“Kalau ada peluang, apa salahnya untuk saya mencuba nasib. Tak kisahlah orang nak cakap apa, yang penting saya mencari rezeki halal,” katanya.














