fbpx

Segera tangani isu bekalan telur ayam di pasar – CAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISU kekurangan bekalan telur ayam turut berlaku di Pulau Pinang sejak lebih dua minggu lalu.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyelesaikan segera masalah kekurangan bekalan telur ayam di negeri ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kebanyakan peniaga runcit dan pasar awam mendakwa yang mereka kini semakin berdepan kesukaran mendapatkan bekalan itu sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, keadaan tersebut sekali gus telah menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan barangan keperluan utama itu pada masa hadapan.

“Tinjauan CAP mendapati telur ayam masih boleh didapati di pasar awam dan kedai runcit di sekitar Gelugor, Bayan Baru, Jelutong, dan Batu Lanchang.

“Bagaimanapun, peniaga mendakwa sukar untuk mereka mendapatkan bekalan kerana kuantiti yang diperolehi daripada pemborong adalah lebih rendah berbanding peniaga di pasar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beritahu beliau lagi, menurut laporan berita, pengeluar telur memilih untuk menyembelih ayam telur sebelum mencapai kematangan dan tindakan itu telah mengakibatkan kekurangan bekalan.

“Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi baru-baru ini mengenal pasti kos makanan ayam yang tinggi sebagai bertanggungjawab terhadap kekurangan bekalan telur ayam.

“Mengapa mereka tidak berunding dengan penternak ayam lebih awal dan mengambil tindakan bagi menanganinya?

“Sekiranya penternak ayam telah memberi maklum balas, adakah Pasukan Khas ini berbincang dengan pihak pengeluar makanan tempatan mengenai cara bagaimana menghasilkan makanan yang lebih murah menggunakan sisa isirong sawit memandangkan kos makanan merupakan isu utama menjadi pertikaian?” soalnya lagi.

Dalam pada itu, Mohideen berkata, terdapat banyak kajian yang berkaitan dengan penggunaan kek isirong sawit sebagai bahan makanan haiwan sejak 1980-an.

“Selangor mengumumkan akan menerima pakai kaedah menyediakan pengeluaran makanan haiwan alternatif berdasarkan penyelidikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dua tahun lalu. Kaedah tersebut telah dilaksanakan di Kedah dan didapati telah mengurangkan kos makanan ternakan dengan ketara,” tambahnya.

Pada 3 November lalu, Kosmo! melaporkan peniaga makanan terutama nasi lemak dan baulu di negeri ini mula gelabah memikirkan bekalan telur ayam yang semakin sukar diperoleh di kedai runcit ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI