KUANTAN – “Apa kami boleh buat, hanya reda. Memanglah terbeban sebab harga barang naik, tetapi pendapatan kami berada di tahap kemiskinan.”
Itu keluhan seorang guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) dikenali sebagai Siti yang masih menerima bayaran elaun sebanyak RM1,000 sebulan.
Siti yang telah 20 tahun menjadi guru KAFA berkata, dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan, sememangnya jumlah itu tidak dapat menampung keperluan keluarga.
Malah, katanya, tanpa faedah lain termasuk cuti bersalin kerana berjawatan kontrak telah menyebabkan kehidupan mereka sentiasa dihimpit bebanan.
“Saya terpaksa buat kerja lain seperti menjahit kerana suami pun kerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu.
“Nasib kami memang agak terbeban kerana bukan sahaja pendapatan rendah, malah kalau cuti, tiada pendapatan,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, ramai guru KAFA berharap elaun dapat dinaikkan dan diberikan status perjawatan tetap bagi meringankan beban serta mendapat pelbagai keistimewaan, sekali gus dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang.
Katanya, walaupun faktor gaji tidak menghalangnya melakukan kerja dengan baik, namun kenaikan itu sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban dan meningkatkan semangat untuk bekerja.
“Kami difahamkan pada masa ini, kawan-kawan di Johor dan Selangor sudah mendapat tambahan elauan RM500, jadi kami pun berharap turut dibantu oleh kerajaan negeri dan pusat,” ujarnya.
Seorang lagi guru KAFA dikenali sebagai Azie berkata, tugas sebagai guru KAFA adalah berat apabila mereka perlu memastikan murid-murid dapat menguasai pendidikan Islam dengan baik khususnya yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).
Katanya, dia biasanya akan datang ke kelas kira-kira sejam lebih awal bagi memastikan proses pengajaran berjalan lancar dan memantau murid-murid yang datang awal.
“Sebenarnya kami juga menerima tekanan daripada ibu bapa yang sudah tentu mahukan anak-anak mereka mendapat keputusan cemerlang dalam UPKK memandangkan ia merupakan syarat untuk menyambung pelajaran di sekolah agama.
“Kami memang bekerja bersungguh-sungguh dan berharap agar masalah ini dapat diberikan perhatian agar kami terus mampu menjalankan amanah dengan baik,” ujarnya.














