PETALING JAYA – Orang ramai kini berjaga-jaga dengan mengambil langkah berjimat-cermat berikutan ramalan kemelesetan ekonomi menjelang 2023.
Antara inisiatif yang dilakukan adalah dengan mengurangkan atau mengehadkan perbelanjaan bagi barangan bukan keperluan dan mengelakkan membuat pinjaman dalam jumlah besar.
Pekerja swasta, Hafiz Omar, 29, berkata, dia mengambil serius berhubung amaran Bank Dunia mengenai inflasi pada bulan lalu dengan membuat beberapa persediaan.
“Setakat ini, saya sudah mula mengurangkan perbelanjaan mengikut kehendak. Sebelum ini saya mempunyai perancangan untuk membeli komputer menggunakan pelan ansuran tanpa faedah, tetapi mungkin akan menangguhkan dahulu buat sementara waktu.
“Pada masa sama, saya berharap situasi tersebut tidak berpanjangan kerana mempunyai komitmen tinggi seperti bayaran kereta dan rumah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Bagi Mazlinda Ahmad, 44, pula, dia mengambil keputusan membatalkan niat untuk bercuti bersama keluarga termasuklah ke luar negara sebagai langkah berjimat-cermat.
“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang, lebih baik kita menyimpan.
“Bagi saya, persediaan ini bukan sahaja melibatkan kewangan semata-mata, malah mental juga penting untuk kelangsungan hidup,” ujarnya.
Kakitangan swasta, Syazriz Asraf, 28, pula berpendapat kerajaan harus melipatgandakan usaha bagi memastikan kebajikan rakyat terbela kerana sudah pasti ada kelompok yang akan terjejas.
“Antara yang perlu dilakukan adalah bantuan berbentuk kewangan selain memantau harga barangan supaya tidak berlaku kenaikan mendadak,” katanya.
Pemuda itu juga merancang untuk menambah simpanan dengan mengelakkan membuat hutang baharu sebagai persediaan pada waktu kecemasan.
Langkah orang ramai itu turut disokong Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Mohammad Noorizuddin Nooh yang meminta rakyat menangguhkan pembelian jangka masa panjang seperti pinjaman rumah dan kereta.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat pembelian besar dalam masa enam bulan hingga satu tahun kerana kadar faedah yang dijangka meningkat.
“Ekonomi dunia akan meleset kerana kebanyakannya bersandarkan kepada matawang dolar. Bagi mengatasinya, kita perlu lihat kepada pendekatan sama ada fiskal atau monetari atau dua-dua sekali,” katanya.















