fbpx
JALIL berasa seram sejuk selepas mengetahui kelibat isterinya yang tergesa-gesa ke surau adalah penunggu di R&R tersebut.– ILUSTRASI SHAH HASAN

Disangka isteri, rupanya penunggu di R&R

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMRAH bagi setiap individu yang melakukan perjalanan jarak jauh akan menjadikan kawasan rehat dan rawat (R&R) sebagai tempat merehatkan badan selepas penat memandu.

Sama seperti Jalil, 32, (bukan nama sebenar), bukan sahaja menjadikan lokasi tersebut sebagai kawasan untuk berehat, dia bahkan begitu teruja dan sering ternanti-nanti untuk turun ke persinggahan tersebut bagi mengisi perut yang lapar.

Bagaimanapun, kejadian menyeramkan di sebuah kawasan R&R ketika perjalanan ke Pantai Timur dua tahun lalu menjadikan dirinya trauma setiap kali mengingati peristiwa itu.

Bercerita lanjut, menurut Jalil, ketika itu, dia dan keluarga dalam perjalanan untuk bercuti ke lokasi terkenal di negeri Pantai Timur.

Tempoh perjalanan yang panjang, ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas menyebabkan dia tiba di perhentian tersebut pada lewat petang bagi menunaikan solat dan mengisi perut yang lapar.

Katanya, tidak seperti kebanyakan kawasan R&R lain, lokasi itu tidak begitu ramai orang dan agak sunyi.

“Dalam hati saya berkata, mudah begini kerana tidak perlu bersesak-sesak di dalam ruang solat dan boleh menjamu selera dengan tenang bersama keluarga.

“Pada ketika itu, tiba-tiba perut saya meragam. Disebabkan anak kecil sedang tidur, isteri menyarankan supaya kami turun secara bergilir-gilir dan saya mengambil keputusan untuk turun terlebih dulu.

“Suasana sunyi dan lokasi tandas yang agak jauh ke dalam menyebabkan saya mula ingin membatalkan hasrat tersebut.

“Namun, selepas terlihat kelibat seorang pekerja pembersihan di luar tandas, saya rasa lega dan meneruskan niat itu,” katanya.

Kongsi Jalil , dia mula diganggu sewaktu sedang melepaskan hajat besar.

Ketika itu, dia mula terdengar bunyi ketukan kuat dan orang sedang menggerudi sesuatu seolah-olah tandas tersebut sedang menjalani proses renovasi dan baik pulih pada skala besar.

Bukan itu sahaja, Jalil turut terdengar bunyi riuh suara kanak-kanak berlarian di luar tandas.

“Lega rasanya apabila saya tidak berkeseorangan, sebaliknya turut ditemani pengguna lain. Selesai sahaja urusan itu, saya terus keluar dan mencuci tangan.

“Peliknya, tandas yang tadinya riuh kembali sunyi seperti ketika saya mula masuk. Saya benar-benar tidak memikirkan perkara negatif,” kongsinya.

Sedang berjalan ke kereta, Jalil dihubungi isterinya dan memberitahu anaknya masih lagi tidur, lalu dia terus meluru ke surau untuk menunaikan solat.

Ketika itu, kata Jalil, satu lagi insiden ganjil berlaku di hadapan matanya.


LOKASI tandas yang agak jauh dan sunyi menyebabkan Jalil pada mulanya ingin membatalkan hasrat tersebut.

“Saya lihat kelibat isteri dan anak-anak tergesa-gesa menuju ke surau. Saya pelik kerana sebelum itu baru terima panggilan daripada isteri yang mengatakan anak kecil kami masih lagi tidur. Saya cuba memanggil mereka.

“Mereka hanya senyum dan tidak menyahut panggilan saya, sebaliknya meluru masuk ke dalam surau. Usai menunaikan solat, saya mengambil keputusan untuk menunggu mereka di luar,” ujarnya.

Pun begitu, selepas lebih setengah jam menunggu, isteri dan anaknya masih lagi belum keluar. Panggilan telefon pula tidak berangkat.

Jalil mengambil keputusan untuk bergerak dan menunggu mereka dalam kenderaan. Setibanya di kenderaan, dia terkejut dan mengucap panjang selepas mendapati, isteri dan anak-anak berada di dalamnya.

“Isteri kata dia tidak keluar langsung dan hanya berada dalam kereta sepanjang pemergian saya. Lagipun, anak bongsu saya masih tidur, jadi manakan mungkin dia pergi ke surau.

“Ketika itu saya mula rasa tidak sedap hati dan mahu meninggalkan perhentian tersebut. Bagaimanapun hasrat tersebut terbantut apabila anak-anak kami merengek kelaparan.

“Mahu atau tidak, saya terpaksa turun semula ke ruang penjaja untuk membeli makanan.

“Peliknya biarpun pada waktu itu jam baru menunjukkan angka enam, namun kesemua kedai telah ditutup. Yang tinggal hanyalah mesin air automatik,” jelasnya.

Suasana itu disampaikan kepada pengetahuan isterinya.

Bagaimanapun dia sekali lagi terkejut apabila isteri memberitahu baru sahaja melihat seorang lelaki bersama kanak-kanak membawa plastik polisterin makanan keluar dari ruang penjaja.

Biarpun berat hati untuk melangkah ke ruang itu, namun Jalil memberanikan diri ke sana untuk membuktikan apa yang dilihat oleh isterinya itu tidak benar.

“Ternyata apa yang diperkatakan isterinya benar. Dari jauh, saya dapat melihat sebuah gerai yang masih dibuka.

“Bagaimanapun kedai tersebut hanya menjual mi dan ayam goreng sahaja kerana makanan-makanan lain semuanya telah habis. Disebabkan tidak sedap hati, saya tidak membeli dan pulang ke kereta dengan tangan kosong,” tambahnya.

Tanpa berkata apa-apa, Jalil memecut laju kenderaanya keluar dari perhentian tersebut dan menuju ke sebuah pam minyak bagi membolehkan isterinya solat dan mengisi perut.

Biarpun telah dua tahun berlalu, namun dia masih merahsiakan insiden tersebut daripada pengetahuan isteri dan anak-anaknya.

Pun begitu, lelaki ini masih lagi menyimpan trauma dan menjadi lebih berhati-hati untuk berhenti di mana-mana persinggahan selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN