fbpx
FATTAH AMIN

Fattah Amin dibayangi semangat Awang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK dilihat cemerlang menjayakan watak Awang, pahlawan Melayu yang handal bersilat dan memanah dalam filem pecah panggung Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, saham aktor Fattah Amin melonjak naik.

Filem yang mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah filem tempatan iaitu hampir RM100 juta telah pun ditayangkan sejak tiga bulan lalu.

Sehingga kini aura Awang masih kuat melekat dan sukar dipisahkan daripada Fattah.

Buktinya, peminat menggila dan bersorak saat Awang membuat kemunculan khas dalam acara Faztival Fazura ketika persembahan penyanyi Datuk M. Nasir menerusi lagu Mentera Semerah Padi.

“Walaupun sudah lama filem Mat Kilau ditayangkan, ke mana sahaja saya pergi sehingga hari ini peminat masih memangil saya dengan nama Awang.

“Sebelum ini ketika muncul dalam program Muzikal Lawak Superstar saya membawa watak Awang yang kelakar juga peminat menyukainya.

“Sebagai pelakon apabila dikenali peminat dengan nama karakter lakonan, itu adalah satu penghargaan buat saya. Saya menikmatinya dan gembira dengan penerimaan peminat,” ujar Fattah.

MENURUTI permintaan peminat, Fattah kini memberi fokus terhadap filem genre aksi. – MOHD FIRDAUS MOHD. JOHARI

Sungguhpun begitu, suami kepada pelakon terkenal Nur Fazura itu tidak dapat menyembunyikan kegusaran dan tekanan untuk ‘berpisah’ dengan Awang.

Sebagai pelakon Fattah sedar untuk mengekalkan momentum lakonan di tahap yang sama atau lebih baik dalam karya berbeza bukanlah satu hal yang mudah.

“Sejujurnya memang saya tertekan, sebab sudah pasti peminat akan meletakkan harapan yang tinggi dalam lakonan saya seterusnya kerana kejayaan filem Mat Kilau.

“Tetapi semua itu bukanlah di bawah kawalan saya kerana kejayaan sesebuah filem bukan terletak pada seorang pelakon sahaja.

“Sebaliknya, bergantung kepada keseluruhannya seperti keserasian pelakon, kekuatan mesej, pengarahan dan cita rasa penonton.

“Akhir sekali terpulang kepada rezeki kerana pelakon, pengarah dan penerbit sendiri tidak menyangka filem Mat Kilau mampu mendapat kutipan sebanyak ini,” tutur Fattah.

Demi mengekalkan momentum seni dan kekal relevan dalam industri lakonan, Fattah menjelaskan dia kini cukup selektif terhadap pemilihan watak.

Mahu menjadi pelakon versatil dan enggan membawa watak yang sama antara faktor Fattah lebih teliti sebelum terlibat dalam sebarang karya baharu.

“Saya memang selektif kerana tidak mahu membawa watak yang sama sekali gus membuatkan orang bosan dengan lakonan saya.

“Sebagai pelakon, saya harus sentiasa ada pembaharuan dan peningkatan untuk diberikan kepada peminat dan penonton supaya saya boleh kekal relevan,” luah Fattah lagi.

TIDAK hanya filem, Fattah juga bakal muncul dalam drama bersiri yang akan ditayangkan di laman penstriman Sooka berjudul Kamcing.

Aksi

Menyambung bicara tentang karier seninya, daripada seorang pelakon genre romantik kini Fattah dilihat cemerlang dengan deretan filem aksi.

Pernah muncul dengan drama kepolisan Gerak Khas dan KL Special Force, terbaharu Fattah sekali lagi membawa watak polis menerusi filem Deleted: Akan Ku Jejak!

“Bagi saya pelakon seperti produk, jika hendak menjual produk perlu ada permintaan.

“Sejak kebelakangan ini, penonton suka melihat saya berlakon dalam filem aksi, jadi itu yang saya cuba beri kepada penonton,” kata Fattah yang ditemui pada pratonton filem Deleted baru-baru ini.

Bercakap tentang Deleted, Fattah menjelaskan mesej berat tentang membenteras pemerdagangan manusia dan kanak-kanak yang diangkat dalam karya tersebut antara tarikan utama.

Selain tawaran, Fattah terpanggil menjayakan filem arahan Ken Ng Huang Laifa itu kerana ingin memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Mesejnya tentang pemerdagangan manusia dan kanak-kanak. Ini adalah isu yang serius.

WATAK Awang dalam Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya melonjakkan saham Fattah ke tahap lebih tinggi.

“Saya tidak boleh bayangkan jika anak atau kaum keluarga sendiri tiba-tiba hilang diculik. Sindiket ini menculik, membunuh dan menjual organ kanak-kanak di pasaran gelap.

“Semasa penggambaran pada 2019, anak saya Fatima belum lahir. Sekarang, saya tahu perasaannya selepas ada anak sendiri. Contoh bawa anak ke taman permainan, tiba-tiba anak hilang, boleh gila jadinya,” ujar Fattah.

Meskipun watak seorang anggota polis cukup sinonim dengannya, cabaran terbesar Fattah adalah tidak menjalani latihan aksi atau seni mempertahankan diri sebelum penggambaran bermula.

“Kekangan masa dan jadual padat para pelakon antara sebab kita tidak dapat buat latihan sebelum penggambaran. Jika ikutkan saya lebih suka buat persiapkan babak aksi sebelum penggambaran, lebih menjimatkan masa.

“Namun, saya bersyukur kerana barisan pelakon yang dipilih semuanya mempunyai pengalaman dalam filem aksi seperti Datuk Rosyam Nor, Pablo Amirul dan Zheng Geping.

“Walaupun tiada latihan, penggambaran selama lebih 20 hari berjalan dengan mudah,” tutur Fattah.

Ditebak tentang kutipan, sebagai pelakon dia tidak mempunyai kuasa untuk meramal jumlah kutipan sebaliknya berbalik kepada rezeki dan cita rasa penonton.

“Filem Deleted dan Mat Kilau adalah karya aksi tetapi genre yang berbeza. Jadi, tidak boleh disamakan kerana setiap filem ada sasaran penontonnya yang tersendiri.

“Apa yang saya harapkan adalah sokongan dan mesej yang ingin diberikan sampai kepada penonton.

“Jika dapat kutipan yang bagus itu adalah bonus dan rezeki,” kata Fattah tentang filem Deleted yang telah menemui penonton di pawagam sejak 15 September lalu.

FATTAH bergandingan buat kali kedua dengan Rosyam Nor dalam filem Deleted: Akan Ku Jejak! selepas filem KL Special Force.

Fatima nak adik

Dalam pada itu, Fattah sempat disoal tentang pendedahan isterinya, pelakon Nur Fazura yang merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga.

Sambil tersenyum, Fattah mengakui mereka suami isteri terbuka andai diberi rezeki menambah cahaya mata, namun bukanlah dalam masa terdekat memandangkan jadual kerja mereka begitu padat.

“Kita hanya mampu merancang kerana bagi saya anak itu rezeki. Jika ada jangan risau kami akan beritahu.

“Cuma sekarang kami sangat sibuk, untuk membawa Fatima keluarga berjalan sebulan sekali pun kadangkala tidak sempat.

“Jadi, kami hanya belikan mainan untuknya. Sebab itu, rasanya tidaklah (tambah anak) dalam masa terdekat kerana dengan Fatima pun kami kurang sangat masa dengannya,” akui Fattah jujur.

Meskipun begitu, kongsi Fattah, Nur Fatima Aisya yang bakal menginjak usia dua tahun pada 2 Oktober depan dilihat seperti sudah bersedia untuk menerima kehadiran seorang adik.

“Fatima pun hampir dua tahun, kadangkala saya lihat dia main dengan anak patungnya gaya seperti kakak yang pegang adik kecil. Katanya, dia mahukan ‘baby’.

“Alhamdulillah, walaupun sekarang dia seorang sahaja, sepupunya kerap datang ke rumah untuk bermain.

“Sekurang-kurangnya dia ada kawan tidaklah terlalu sunyi,” ujar Fattah yang merancang untuk membawa Fatima bercuti dalam masa terdekat.

Seperkara lagi tentang Fattah, biarpun sudah bergelar seorang suami, sahamnya dalam kalangan wanita masih tinggi.

Malah, ada segelintir dalam kalangan peminat dilihat tidak segan silu menguratnya dalam sesi live bersama isterinya baru-baru ini.

Menjawab persoalan tersebut, kata Fattah, Fazura tidak pernah berasa cemburu kerana menganggap wanita-wanita berkenaan sekadar peminat yang memang gemar mengusik mereka berdua.

“Memang selalu ada peminat sengaja mengusik Fazura dan saya. Setakat ini, isteri faham dan tidaklah menunjukkan rasa cemburu sebab yang mengusik adalah peminat kami sendiri.

“Mungkin itulah cara peminat melepaskan rindu terhadap kami berdua.

Jadi, tidak timbul sebarang isu sebab isteri saya juga layankan sahaja gurauan tersebut. Tanpa peminat, kami tidak akan berdiri seperti hari ini,” kongsi Fattah.

Pernah muncul dengan drama kepolisan Gerak Khas dan KL Special Force, terbaharu Fattah sekali lagi membawa watak polis menerusi filem Deleted: Akan Ku Jejak!. Kali ini, dia bergandingan dengan Rosyam Nor dan Pablo Amirul.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN