Iklan Tan Hong Ming yang dibawakan Petronas sempena Hari Kebangsaan antara yang meninggalkan kesan kepada rakyat Malaysia pada tahun 2009.
Ia berkisar seorang kanak-kanak lelaki bernama Tang Hong Ming yang menyukai rakannya iaitu Umi Kazrina.
Iklan berdurasi 1 minit 24 saat itu berjaya menyampaikan mesej besar mengenai perpaduan rakyat Malaysia berbilang kaum.
Pada hari ini, pelbagai idea kreatif dipertontonkan di kaca televisyen dengan hasrat yang sama terutama semasa perayaan untuk meraikan kepelbagaian budaya, bangsa dan agama sebagai satu keluarga Malaysia.
Sebuah syarikat diasaskan anak muda, Kapsul Studio Sdn. Bhd. turut mengambil langkah berani menghasilkan 13 siri filem pendek Malaysian Like Me berkisarkan perjalanan kehidupan setiap individu yang berbeza dalam mencapai makna sebuah ‘kemerdekaan’ yang sama.

Pemilik syarikat dan pengarahnya, Cech Adrea berkata, meskipun dengan bajet yang kecil, produksinya berjaya menghasilkan siri berdurasi antara lima hingga enam minit tersebut bagi mendedahkan kisah realiti oleh 13 individu yang memberi kesan terhadap pemberdayaan masyarakat.
“Bajet untuk kita hasilkan filem ini memang tidak besar tetapi saya kira mesej yang dibawakan adalah besar iaitu perjuangan setiap individu dalam mencapai erti sebuah kemerdekaan.
“Dalam siri ini, kita membawakan mesej mengenai pergelutan dialami anak-anak gelandangan, pesakit kanser, mangsa perceraian, isu pendatang asing tanpa izin dan banyak lagi yang mengetengahkan rasa kritis melalui semangat patriotisme,” katanya.
Ujarnya, antara 13 watak utama yang diketengahkan adalah Hishamuddin Rais, Ayam Fared, Connie Khong, Hadi Khalid, Egy Ezira dan Cikgu Rahayu.
“Dalam filem pendek ini, Hishamuddin berkongsi secara santai mengenai pengalamannya membaiki semula kereta Volvo yang dipandunya dari Jemapoh ke Manchester, Connie Khong pula mendedahkan dirinya digelar ‘Pisang’ yang membawa makna kulit kuning di luar tetapi dalam isinya putih (bercakap Inggeris) oleh kaumnya kerana tidak mahir bertutur dalam Mandarin.
“Egy Ezira pula bercerita mengenai perjalanan hidupnya yang hanya disahkan menghidap kanser limfoma selepas tiga tahun melakukan biopsi dan Cikgu Rahayu berkisarkan pengorbanan yang dilakukan bagi memastikan anak-anak gelandangan di Chow Kit mendapat pendidikan asas,” katanya yang memberitahu filem-filem pendek ini boleh ditonton di laman Youtube Kapsul Studio.
Mengulas lanjut, Cech berkata, siri filem pendek itu turut ditayangkan di Johor Street Film School di Johor Bahru bagi menggalakkan golongan anak-anak muda untuk membina ruang alternatif bagi pembikinan filem di Johor.

SALAH satu filem mengupas mengenai isu gelandangan kanak-kanak di Chow Kit.
Ujarnya, setakat ini projek pelapis itu digerakkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dan turut mendapat sokongan daripada Mubi Malaysia.














