IPOH – Kerajaan negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) melancarkan aplikasi Talent Perak sebagai platform untuk orang ramai mencari peluang pekerjaan di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aplikasi tersebut kini boleh dimuat turun pengguna di telefon pintar melalui Google Play Store.
Katanya, carian jawatan kosong dibuat mengikut kategori demografik, industri, pengajian dan peringkat jawatan yang berdekatan dengan lokasi pengguna.
“Talent Perak kini dalam peringkat versi Beta dan Pasak akan mendapatkan input dan maklum balas daripada pengguna untuk memastikan aplikasi tersebut dapat diakses dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) @ Karnival Lokein-O-Rama dan Majlis Pelancaran Aplikasi Talent Perak di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Menurut Saarani, pembinaan aplikasi itu antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan sekali gus mempersiapkan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri.
Malah katanya, ia juga bagi memastikan kebolehpasaran graduan di negeri ini sentiasa dipertingkatkan.
“Ini juga selari dengan komitmen kerajaan negeri yang giat membuka kawasan-kawasan industri baharu di Perak selain peningkatan permintaan daripada syarikat-syarikat multinasional untuk membuka atau meluaskan operasi mereka di negeri ini,” katanya.
Pada majlis sama, turut diadakan majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara Pasak, Institut Darul Ridzuan (IDR) dan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi melaksanakan program-program pembangunan belia di Perak. – KOSMO! ONLINE