JIKA hendak diajak bercerita tentang gosip atau kontroversi, aktor dengan nama pentas Beto Kusyairy bukanlah individu yang cocok.
Kehadiran dalam industri sejak lebih 15 tahun lalu sudah cukup terbukti tulus, dia hanya mahu memperjuangkan kecintaan seni yang berakar dalam jiwa, menumbuhkan karya-karya yang meneduhkan mahupun mencengkam pasak bumi sinema tanah air.
Ketika pelakon lain sibuk mengintai peluang melebarkan sayap kerjaya ke seberang dan Hollywood, lain pula pendapat yang terbit dari bibirnya.
Kata pemilik nama penuh Nurkusyairy Zakuan Osman itu, kini agak terlewat untuknya mengembangkan kerjaya ke negara lain, apatah lagi usianya juga sudah mencecah 42 tahun.
“Saya rasa untuk umur sekarang macam sudah terlambat nak lebarkan sayap ke Indonesia.
“Umur pun semakin meningkat, agak lambat untuk sesuatu momentum sekiranya baru sekarang hendak masuk industri seni negara lain,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Meskipun filem lakonannya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sudah menjengah ke pawagam seberang, Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) Anugerah Skrin 2015 itu enggan meletakkan sebarang harapan untuk menempa nama di sana.

“Saya tidak meletakkan hasrat atau impian ‘terbang’ ke negara lain atas alasan motivasi atau pengukur kejayaan sebagai anak seni.
“Sebenarnya, saya seorang yang buat sahaja setiap kerja dengan mempersembahkan seluruh jiwa dalam setiap karya.
“Bagaimanapun, jika ada rezeki memanggil, saya boleh pertimbangkan,” jelasnya panjang lebar.
Tiada rasa sekelumit rasa terkilan sekiranya peluang tersebut tidak hadir, dia akan terus memerah keringat untuk terus membangunka
“Sekiranya tiada, saya okey dan tidak meletakkan sebarang harapan setinggi gunung. Jika dibuka ruang, saya teruskan dan cuba untuk melunaskannya.
“Sekarang, bukan sasaran saya untuk bekerja di Indonesia, Thailand mahupun Hollywood.
“Saya fokus dengan industri seni tanah air, untuk produk orang kita dulu. Jika orang luar jemput, semoga semua itu dipermudahkan,” tuntasnya.

Watak jurulatih
Berkongsi mengenai watak sebagai jurulatih bola sepak, Zainal Abidin dalam filem Anak Rimau The Movie, anak kelahiran Kuala Lumpur itu teruja dapat berkongsi layar dengan barisan pelakon muda.
“Seronok bekerja dengan atlet muda yang latar belakang mereka bukan daripada industri seni.
“Kesungguhan mereka belajar dalam kelas lakonan bersama Fatimah Abu Bakar itu harus dipuji.
“Bekerja dengan atlet, tiada isu disiplin kerana mereka sangat menepati masa dan mudah terima arahan,” ujarnya.
Mengenai karakter tegas seperti ditonjolkan dalam naskhah tersebut, Beto akui bukan seorang individu yang garang.
“Saya bukan seorang yang garang tetapi lebih kepada tegas pada tempatnya.
“Sifat tegas tersebut terpakai apabila ada perkara yang memperlekeh atau merendah-rendahkan diri dan orang sekeliling,” jelasnya.
Membina acuan sendiri, bintang filem Frontliner itu tidak meniru mana-mana karakter untuk watak jurulatih yang dipegangnya.
“Nama watak saya itu tribute untuk seorang atlet bola sepak negara Zainal Abidin Hassan tetapi untuk karakter, saya yang bentuk sendiri.
“Tiada istilah meniru pun. Saya sangat sukakan bola sepak dan alang-alang, lebih baik saya cipta ‘Jurgen Klopp’ (pengurus pasukan Liverpool) sendiri,” katanya seraya tertawa.

















