MENJADI antara pelakon filem termahal di India ketika ini, aktres jelita Alia Bhatt juga sedang dijulang sebagai bintang paling popular dalam kalangan peminat Bollywood generasi sekarang.
Biarpun ketika awal debutnya pada usia 19 tahun sudah memancing perhatian menyeluruh peminat, tetapi sehingga sekarang, kariernya diibaratkan sedang baru ‘bermula’.
Terkenal dan tersanjung di negara kelahiran, namun berbanding bintang ternama lain seperti Priyanka Chopra dan Deepika Padukone, nama aktres yang memegang kerakyatan British itu belum cukup dikenali di persada Hollywood.
Kini, pelakon berusia 29 tahun itu perlahan-lahan cuba menyelinap masuk dalam ruang yang ada apabila filem terbaharu lakonannya berjudul Darlings mencatat rekod luar biasa di peringkat global.
Darlings yang merupakan naskhah bersadur ‘dark comedy’ atau komedi gelap menyorot kisah seorang wanita dan ibunya yang membalas dendam apabila didera suami sendiri.
Selain pelakon utama, naskhah tersebut menyaksikan Alia turut memegang posisi sebagai penerbit buat pertama kali dalam kariernya sejak sedekad lalu.

Pengaruh
Menemui peminat sejak 5 Ogos dalam platform penstriman Netflix, Darlings memecah rekod apabila menjadi filem bukan bahasa Inggeris pertama yang mencatat jumlah tontonan paling tinggi secara global.
Pencapaian tersebut sekali gus membuatkan aktres itu menjadi buah mulut peminat di seluruh dunia sehingga perhatian khalayak kini sedang tertumpu ke arahnya.
Bahkan turut memudahkan ruang untuk menebarkan nama di persada Hollywood sementelah Alia juga akan muncul dengan sebuah filem Hollywood berjudul Heart of Stone pada tahun depan.
Menariknya, naskhah berkenaan merupakan penampilan perdananya dalam industri Hollywood apabila berpeluang berlakon di samping pelakon terkenal, Gal Gadot.
Watak didera suami sudah, menjadi anak orang kaya yang menderita Stockholm Syndrome juga disapu bersih Alia dalam filem Highway (2014).
Menterjemahkan watak pekerja seks juga pernah didukung aktres itu menerusi Gangubai Kathiawadi, jadi apa lagi yang dia tidak pernah lakukan? Tiada.
Dengan boleh menjadi apa sahaja, Alia membuktikan hanya dengan skil lakonan penuh jiwa, dia layak digelar ‘one-woman show’.

‘Rat race’
Dalam industri Bollywood yang selalu menekankan watak hero sebagai sanjungan utama berserta habuan paling tinggi, Alia membuktikan sebaliknya.
Anak kepada aktres Soni Razdan itu menunjukkan bahawa dia tidak perlu pasangan pelakon lelaki untuk menjadikan filem-filem yang meminjam pesonanya selama ini berjaya diterima penonton.
Dia utuh berdiri sendiri, sebagai seorang wanita berinspirasi.
Cuma seiring dengan perubahan waktu, pemikiran aktres kelahiran bulan Mac 1993 itu terhadap makna dan kehidupan yang diselimuti populariti tidak lagi sama seperti dahulu.
Ujar Alia, misi berada di puncak bukan lagi keutamaannya tetapi sekarang dia lebih mengejar sesebuah projek yang memberinya kepuasan dan menikmati keseronokan.
“Rat race (cara hidup di mana seseorang terperangkap dalam persaingan sengit untuk mendapatkan kekayaan atau kuasa) sudah tidak memuaskan hati dan kadang-kadang buatkan ketagih, tetapi sayangnya ada kesan negatif.
“Perkara tersebut tidak lagi mendorong saya. Saya dah tak nak berada dalam ‘permainan’ tersebut.
“Apa yang saya mahu sekarang hanyalah untuk bekerja dengan orang yang saya selesa,” ujarnya cukup makna.

Jadi ibu
Sedang di puncak karier, Alia bahkan pelakon terkenal Bollywood yang lain tidak menjadikan ikatan perkahwinan sebagai tabu dalam kehidupan, apabila perkara berkenaan sering dianggap menjadi punca populariti seseorang artis menjunam.
Dia yang mengahwini kekasih hatinya iaitu aktor terkenal Ranbir Kapoor pada 14 April lalu kini meniti hari-hari bahagia apabila melalui pengalaman kehamilan pertama.
Alia mengesahkan dirinya berbadan dua sekitar Jun lalu.
Tidak memberi perhatian terhadap perubahan fizikal yang dialami sejak hamil, Alia bagaimanapun hanya menjalani fasa tersebut dengan hati yang tenang tanpa perlu berasa stres.
Ujarnya, dia kini gemar memakai pakaian yang longgar dan besar. Adakalanya menyarung baju-T suaminya kerana berasa selesa.
“Saya memang suka pakai pakaian besar tetapi saya mahu ‘raikan’ apa sahaja perubahan yang berlaku sepanjang proses kehamilan ini.
“Sekarang jenis pakaian saya memang menjurus ke arah yang bersaiz besar dan longgar. Tetapi kadangkala ikut ‘mood’ dan tahap keselesaaan,” ujarnya.















