PETALING JAYA – “Setiap bulan ada sahaja murid yang berhenti kerana ibu bapa mereka mengalami masalah kewangan.”
Itu kata seorang pengusaha tadika, Siti Maznah Md. Arip mengenai situasi yang berlaku di premisnya sejak tahun lalu.
Keadaan itu menyebabkan Siti Maznah terpaksa menutup sebuah cawangan tadika miliknya di Cheras, Kuala Lumpur awal tahun lalu kerana bilangan murid yang semakin berkurangan.
“Pada tahun 2018, saya memiliki dua buah tadika kerana ketika itu permintaan amat tinggi.
“Bagaimanapun, selepas negara dilanda Covid-19, kedua-dua cawangan saya terkesan dan tadika ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Namun, ketika itu masih boleh survive kerana ada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan jumlah murid masih sama,” katanya kepada Kosmo! .
Menurutnya, bermula Oktober 2021, trend kekurangan murid semakin menjadi-jadi apabila setiap bulan ada sahaja yang berhenti selepas ibu bapa mereka mengalami masalah kewangan.
Susulan itu, Siti Maznah tekad menutup sebuah cawangan kerana tidak mampu menampung kos bulanan yang secara puratanya melebihi RM9,000.
“Murid-murid pula hanya ada dalam 20 orang, cukup hanya di satu cawangan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Guru Tadika Swasta Negeri Terengganu, Wan Najmiyah Wan Yusof berkata, kebanyakan ibu bapa kini memilih untuk menghantar anak mereka ke tadika milik kerajaan yang lebih murah yuran berbanding swasta.
“Sebelum ini, setiap tadika swasta memiliki sekurang-kurangnya 40 murid, namun kini tinggal 10 hingga 15 orang sahaja.
“Masalah ini menyukarkan pengusaha tadika untuk bertahan dan akhirnya ada yang terpaksa gulung tikar,” ujarnya.
Seorang lagi pengusaha, Fazilah Othman berkata, sepanjang tempoh PKP, majoriti ibu bapa enggan membayar penuh yuran bulanan atas alasan proses pembelajaran tidak berlaku.
“Tetapi selepas sesi pembelajaran secara bersemuka dibenarkan semula, ibu bapa pula bawa anak mereka ke tadika lain yang lebih murah terutama milik kerajaan,” katanya.














