JKM merekodkan 570 individu dipatuk ular pada 2010. - Gambar hiasan

Orang Kedah, Kelantan paling banyak dipatuk ular, disondol babi hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seramai 1,403 individu di seluruh negara menjadi mangsa serangan binatang buas dalam tempoh lima tahun sejak 2018 dengan Kedah merekodkan jumlah tertinggi bagi kes dipatuk ular berbisa.

Dalam tempoh yang sama, penduduk di Kelantan pula merekodkan jumlah tertinggi bagi serangan babi hutan, manakala Sarawak menjadi negeri tertinggi bagi kes-kes melibatkan sera­ngan buaya.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, kesemua 1,403 mangsa yang terlibat sama ada mengalami kecederaan atau kematian telah menerima pampasan menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (KWABMSBB) melibatkan nilai RM2.4 juta.

Katanya, selain kes dipatuk ular dan serangan babi hutan, banyak juga kes melibatkan mang­sa diserang gajah dan kera.

“Permohonan bantuan untuk pampasan banyak diterima di Kedah memandangkan negeri itu mencatatkan kes tertinggi sera­ngan ular berbisa seperti kapak dan tedung selar.

“Di Kedah, seramai 652 mangsa menerima bantuan KWABMSBB diikuti Kelantan (302), Perak (97), Johor (83), Terengganu (74) dan Sarawak (40).

“Kebanyakan kes serangan di Kedah melibatkan ular berbisa iaitu 570 kes, manakala di Kelantan kes tertinggi ialah serangan babi hutan (144) dan Sarawak dengan 30 kes melibatkan serangan buaya,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut beliau, bantuan menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (KWABMSBB) itu di­salurkan secara ‘one-off’ kepada mangsa dan ahli keluarga berdasarkan kecederaan dialami.

Gambar hiasan

“Berdasarkan statistik JKM, pemberian bantuan berjumlah RM2.4 juta ini adalah kepada 1,338 mangsa melibatkan pelbagai kecederaan, manakala 65 lagi disebabkan kematian,” katanya.

Tambah Shaharuddin, bagi tahun 2018, sebanyak RM591,400 disalurkan kepada 311 mangsa, RM4,400 (2019), RM522,600 (2020), RM787,000 (2021) serta RM507,280 pada 2022.

Tambahnya, kadar bayaran bantuan kepada mangsa juga berbeza mengikut kecederaan.

“Jika mangsa meninggal dunia akibat diserang, waris akan me­nerima bantuan RM10,000 selepas segala proses permohonan diluluskan dalam tempoh kira-kira tiga bulan,” katanya.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, mangsa boleh memohon bantuan dengan mengisi Borang Permohonan KWABMSBB di portal JKM selain Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dan Jabatan Perikanan.

“Tempoh permohonan adalah tidak melebihi satu tahun dari tarikh kejadian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perhilitan memaklumkan, ular berbisa se­perti kapak, tedung senduk dan tedung selar direkodkan sebagai paling kerap menyerang manusia dengan kes tertinggi dicatatkan di Kedah, Kelantan dan Perak.

“Selain ular berbisa, antara binatang lain kerap menyerang manusia termasuk babi, gajah dan kera di mana serangan babi dilaporkan paling kerap terjadi di Perak dan Kelantan.

“Di Kedah, serangan binatang buas paling kerap berlaku melibatkan ular berbisa yang bia­sanya terjadi di kawasan kebun getah dan sawah padi,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN