PETALING JAYA – Orang ramai menyokong gesaan pelbagai pihak supaya bank perlu bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi kepada pelanggan yang kehilangan wang simpanan ekoran kelemahan sistem sekuriti perbankan.
Rata-rata mereka berpendapat pihak bank yang mencatat keuntungan besar setiap tahun sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk membayar ganti rugi berkenaan jika disebabkan kecuaian sistem keselamatan mereka.
Orang ramai turut mempersoalkan pendekatan bank amat tegas terhadap pelanggan yang gagal membayar pinjaman termasuk dibawa ke mahkamah, namun dalam soal wang simpanan pelanggan hilang pihak bank mengambil sikap lepas tangan.
Pemilik akaun Facebook Mohd. Zaini berkata, pihak bank mesti bertanggungjawab terhadap kehilangan wang pelanggan mereka sama seperti pelanggan wajib membawa pinjaman mereka kepada pihak bank.
“Seseorang yang pinjam (membuat pinjaman dengan) bank pasti kena bayar. Kalau tidak bayar pada tarikh (ditetapkan pihak bank) akan cari dan hubungi hingga ‘lubang cacing’.
“Kalau orang yang simpan (wang) dalam bank hilang pasti perlu menunggu jawapan bank. Janganlah nak ‘makan kenyang’ saja, tanggungjawab pasti kena ada,” katanya dalam satu hantaran semalam.
Berita berkaitan: Lagi duit lesap dalam bank, kali ini rugi RM11,688
Kosmo! semalam melaporkan pihak bank didesak supaya membayar semula ganti rugi kepada pelanggan apabila berlaku kes kehilangan wang simpanan yang berpunca daripada kelemahan sistem sekuriti perbankan.
Gesaan yang dibuat oleh beberapa persatuan pengguna itu juga menuntut supaya Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan pasukan khas untuk melakukan siasatan terhadap pihak bank yang terlibat.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Mohd. Yusof Abdul Rahman dipetik berkata, pihak bank tidak boleh lepas tangan dan menyalahkan pelanggan semata-mata apabila scammer atau penggodam ‘merompak’ duit pelanggan.
Berita berkaitan: Bank tak boleh lepas tangan, wajib pulangkan duit pelanggan
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan pula dipetik berkata, BNM perlu mengkaji semula perihal kebertanggungjawaban bank komersial terhadap isu kehilangan wang pelanggan.
Tegas beliau, pihak bank tidak boleh lepas tangan sebaliknya perlu bertanggungjawab di atas sebarang bentuk kerugian atau kesukaran dialami orang ramai berhubung wang simpanan mereka.
Baru-baru ini pakar perubatan, Dr. Rafidah Abdullah mendakwa kehilangan wang simpanannya lebih RM13,000 dalam akaun pada 19 Ogos lalu menerusi tiga transaksi mencurigakan.
Beliau mendakwa tidak menyedari ltiga transaksi tersebut kerana tidak menerima nombor Kod Kebenaran Transaksi daripada pihak bank.
Sehubungan itu, beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bank berkenaan.
Sementara itu, pemilik akaun Facebook Kamil Noah berkata, pihak bank setiap tahun mengumumkan keuntungan berbilion ringgit setiap tahun.
“Cukup tahun (pihak bank) umum keuntungan berbilion-bilion ringgit sedangkan perlu bayar ganti rugi (wang pelanggan hilang) tidak sampai 0.1 peratus,” katanya.














