fbpx
Adi menunjukkan produk madu kelulut yang siap dibotolkan ketika ditemui di Kota Kecil, Kota Tinggi semalam.

Tagline ‘saya sudah bermadu…’ lonjak bisnes guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Kreativiti seorang guru automotif menggunakan tagline ‘saya sudah bermadu.. kelulut, anda bila lagi’ membuatkan produk itu ‘laku keras’ sekali gus menghasilkan pendapatan sampingan untuk­nya sekeluarga.

Adi Mohd. Yasin, 49, berkata, dia meraih RM500 sebulan hasil daripada jualan madu yang diusahakan sejak 2017.

Katanya, dia melaburkan hampir RM10,000 sebagai modal untuk membeli 38 sarang kelulut selepas tertarik melihat rakan­nya menjana pendapatan melalui ternakan itu.

“Saya memang yang tidak reti duduk diam. Jika tidak buat apa-apa, badan akan jadi malas mahu tidur sahaja di rumah sebab itu saya perlukan apa-apa aktiviti untuk aktif.

“Sebelum ini, saya buat pelbagai aktiviti ekonomi seperti menternak kambing dan membawa kenderaan e-hailing untuk mengisi masa yang ada,” katanya ketika ditemui di Kota Kecil di sini baru-baru ini.

Menurut Adi, selepas mencuba pelbagai aktiviti, dia mendapati menternak kelulut sangat mudah dan cepat mengeluarkan hasil.

Tambahnya, setiap bulan dia mampu meraih pendapatan sampingan lebih RM500 dan hanya belajar menternak kelulut melalui YouTube.

“Sepanjang lima tahun me­ngusahakan ternakan itu, pelbagai cabaran dihadapi. Antaranya 10 buah sarang kelulut yang dibeli tidak menjadi dan diserang haiwan liar seperti monyet,” katanya.

Ujar Adi, dalam tempoh sebulan dia mampu memungut hasil madu sehingga empat kilogram (kg) di mana ia dijual pada harga RM180 bagi 1kg..

“Tambahan pula saya menggunakan tagline ‘saya sudah bermadu.. kelulut, anda bila lagi’ jadi ramai yang suka dan tertarik. Bagi saya mengusahakan madu kelulut ini sangat berbaloi.

“Saya juga bercadang untuk mengusahakan secara lebih serius apabila sudah pencen kelak. Saya mensasarkan dapat menternak 50 sarang kelulut pada masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN