SEAWAL pukul 8 pagi, Zainuddin Awang, 36, akan mula memerhati segenap ruang di tiga tingkat berasingan di S.I Home Shelter, pusat perlindungan kucing yang menjadi tempat kerjanya ketika ini.
Sudah menjadi rutin hariannya, dia akan membersihkan persekitaran tempat tinggal kucing-kucing tersebut agar bebas daripada sebarang najis terutama di atas lantai dan dalam sangkar kurungan.
Selain itu, dia juga akan memastikan bekas makanan dan minuman terisi bagi mengelak haiwan berkenaan kelaparan.
“Tugas yang paling mencabar di sini ialah bagi menjaga kucing-kucing yang sakit dan dijangkiti virus, selain kucing kelainan upaya atau ‘istimewa’ yang lumpuh atau cacat.
“Haiwan-haiwan ini memerlukan penjagaan yang khusus dan rapi, sama seperti manusia yang sedang sakit dan terlantar,” katanya yang merupakan penyelia di rumah perlindungan haiwan tersebut yang memberi keutamaan dalam membantu kucing-kucing sakit.
Di satu sudut lain, seorang lagi pekerja, Muhamad Sufi. Mohd. Azman, 21, sedang merawat seekor kucing yang memerlukan bantuan bagi memasukkan makanan di dalam mulutnya.

Ini kerana, menurut Sufi, haiwan itu seakan-akan tidak mempunyai selera makan dan kerap kali enggan makan jika diletakkan makanan di dalam bekas di dalam sangkar kurungan.
“Jika ada kucing berhadapan masalah seperti ini, saya akan menyedut makanan basah menggunakan picagari dan akan memasukkannya ke dalam mulut kucing berkenaan secara paksa.
“Sekurang-kurangnya, makanan tersebut akan masuk ke perut dan dapat membantunya untuk kekal bertenaga selain mengelak daripada badannya menjadi kurus walaupun sedang berdepan masalah kesihatan,” ujarnya kepada K2.
S.I Home Shelter merupakan pusat jagaan kucing jalanan yang terletak di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor dan telah ditubuhkan sejak tahun 2012.
Pada dua tahun pertama operasinya, pusat jagaan kucing tersebut telah menempatkan kira-kira 1,000 ekor kucing jalanan dengan sebahagian besarnya merupakan kucing berdepan masalah kesihatan termasuk lumpuh.
Hampir kesemua kucing tersebut diambil daripada salah satu pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang yang kerap menangkap kucing-kucing jalanan hasil aduan orang ramai, selain yang dibuang mana-mana individu.
Namun, akibat pelbagai kekangan terutama dari segi ruang dan sumber kewangan, pusat berkenaan berhenti daripada terus mengambil kucing jalanan untuk diberi pelindungan.
Ia bagi membolehkan S.I Home Shelter memberi tumpuan menggunakan sumber kewangan yang ada bagi penjagaan kucing sedia ada di dalam penjagaan yang berdepan masalah kesihatan terutama lumpuh yang memerlukan kos rawatan amat tinggi setiap kali dihantar ke klinik haiwan.

Mengulas lanjut mengenai S.I Shelter, pemilik dan pengasasnya, Nurul Ain Abd. Hamid, 29, memberitahu, pada masa ini pusat jagaan haiwan itu yang beroperasi di sebuah bangunan kedai empat tingkat menempatkan kira-kira 400 ekor kucing.
“Di tingkat satu, kami menempatkan kira-kira 100 ekor kucing istimewa yang terdiri daripada kucing yang lumpuh dan sakit.
“Di tingkat dua dan tiga pula, ia menjadi tempat tinggal kucing-kucing jalanan peliharaan kami yang sudah sihat, bebas daripada sebarang penyakit, sudah divaksin sepenuhnya dan sedia untuk diserah kepada penjaga baharu yang ingin memilikinya,” katanya.
Ketika ditanya mengapa ditubuhkan pusat perlindungan haiwan itu, Nurul Ain memberitahu, ia bermula selepas dia mula memelihara kira-kira 100 ekor kucing jalanan yang ditempatkan di rumah kediamannya, juga di Taman Sri Muda.

Jelasnya, ketika itu, dia kerap berhubung dengan PBT berkenaan usaha untuk menyelamatkan kucing-kucing jalanan yang ditangkap daripada dilupuskan oleh pihak berkuasa tersebut.
Namun, ujar Nurul Ain, disebabkan jumlah haiwan itu semakin bertambah, dia mengambil keputusan menubuhkan pusat perlindungan kucing secara rasmi selain turut berdaftar dengan pihak berkuasa pada tahun 2012.
“S.I Shelter mungkin agak berbeza dengan pusat jagaan haiwan lain kerana di sini, kami turut menerima kucing-kucing istimewa untuk dijaga dan dirawat.
“Bagi saya, haiwan-haiwan ini berhak untuk mendapat tempat perlindungan selagi hayat mereka dikandung badan dan disebabkan kesemuanya adalah berstatus kucing jalanan, saya mengambil tanggungjawab untuk menjaganya.
“Jadi, di sinilah tempat mereka bergantung harap untuk berlindung dan bergaul dengan kucing-kucing yang lain walaupun sebenarnya menghidap masalah kesihatan yang serius,” ujarnya sambil mengelap air mata.
Menurut Nurul Ain lagi, penjagaan kucing istimewa seperti kucing yang lumpuh agak rumit kerana dia dan pekerjanya perlu memandikan haiwan itu sebanyak dua kali iaitu pada pukul 9 pagi dan 5 petang setiap hari.
Katanya, ia bertujuan bagi memastikan kucing yang lumpuh itu bebas daripada najis yang melekat pada kulit akibat pemakaian lampin pakai buang.
Selain itu, kucing-kucing yang lumpuh juga perlu diberi ubat-ubatan yang bersesuaian terutama yang turut mengalami masalah kesihatan lain seperti dijangkiti virus dan sebagainya.
“Jika dilihat kepada kucing-kucing yang lumpuh ini, ia sama seperti manusia, iaitu mendapat masalah tersebut akibat daripada kegagalan fungsi saraf terutama pada bahagian kaki belakang.
“Jadi, kucing ini perlu dipakaikan lampin pakai buang bagi mengelaknya membuang najis di merata-rata tempat disebabkan oleh keterbatasan pergerakan.
“Walaupun begitu, ia sebenarnya sangat comel apabila dipakaikan lampin dan kucing-kucing ini sudah menjadi antara haiwan kesayangan kerana hubungan kami sudah sangat rapat dengan mereka” katanya.
Mengulas mengenai kucing yang berpenyakit pula, Nurul Ain memberitahu, kesemua kucing berkenaan terutama yang dijangkiti virus akan ditempatkan di dalam sangkar kurungan bagi mengelak virus menjangkiti kucing yang lain.
Jelas Nurul Ain, pihaknya turut meletakkan label bagi setiap sangkar kurungan bagi memudahkan sebarang arahan dari segi pemakanan, pemberian ubat dan penjagaan khas ditulis untuk diikuti serta difahami oleh setiap pekerja.
“Sama juga seperti di hospital, kucing-kucing yang sakit ini juga memerlukan penjagaan yang rapi dari segi pemberian makanan dan ubat-ubatan.
“Jadi pada setiap sangkar akan diletakkan label agar setiap pekerja tahu apa yang mereka perlu lakukan untuk setiap kucing yang sedang dirawat, apakah jenis ubat yang perlu diberi dan sebagainya,” katanya.














