fbpx
Alligator gar mempunyai gigi yang tajam dan panjang didakwa boleh menyerang manusia.

Ikan pemangsa mampu bertelur sehingga 150,000 biji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEKAN – Ikan alligator gar yang pernah direkodkan mencapai berat sehingga 159 kilogram boleh menjadi ancaman baharu kepada populasi ikan tempatan khususnya ikan liar bermutu tinggi yang terdapat di sungai-sungai termasuk Sungai Pahang.

Dengan kemampuan bertelur sebanyak 150,000 telur bagi seekor ikan yang boleh menetas dalam tempoh 10 hari ikan ini mampu menawan atau mendominasi Sungai Pahang sekiranya mula membiak.

Malah dengan telurnya yang dikatakan bertoksin ia sudah mula memberi ancaman kepada haiwan lain atau manusia yang memakan telur ikan yang berasal dari lembangan Sungai Missiissippi di bahagian Timur Amerika Utara.

Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Amirruddin Ahmad berkata, di­sebabkan ikan ini makan ikan lain sebagai sumber makanannya ia menjadi ancaman kepada populasi ikan tempatan kerana boleh membunuh hampir setiap ikan lain yang lebih kecil sekiranya ikan tersebut mendekatinya.

“Ikan ini tidak mempunyai musuh semulajadi di Malaysia dan oleh itu boleh menjadi invasif dalam masa yang singkat memusnahkan ekosistem dan biodiversiti tempatan.

“Ikan baung ekor merah telah menjadi salah satu spesies yang sering ditangkap oleh pemancing dan nelayan sungai di sepanjang Sungai Pahang dan tidak mustahil ikan alligator gar juga mungkin akan berjaya membiak.

“Habitat yang terdapat di Su­ngai Pahang sebagai contoh menyediakan sumber yang sesuai dan cukup untuk spesies ikan tersebut,” katanya di sini semalam.

Menurut Amirrudin, alligator gar merupakan ikan terbesar dalam keluarga ikan gar yang pernah direkodkan membesar sehingga berat 159 kilogram de­ngan panjang tiga meter.

Jelasnya, ikan ini boleh beradaptasi dan mendiami sungai-sungai di Malaysia kerana sungai-sungai dan ekosistem akuatik di negara kita menyediakan habitat yang sesuai untuk ikan ini hidup.

“Ikan ini berupaya bernafas udara, membolehkan ia hidup di tempat yang kandungan oksigen terlarut rendah dan berarus perlahan, ikan ini boleh mendiami tasik dan kolam, takungan air, sungai dan habitat berpaya dengan nilai keasidan yang tidak terlalu tinggi,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai sama ada ia boleh membahayakan manusia beliau berkata, alligator gar yang mempunyai gigi tajam dan panjang dan naluri pemangsa dikatakan kadangkala menyerang manusia dan terdapat laporan me­ngatakan telur ikan ini beracun.

Justeru katanya, dengan pelbagai kesan negatif akibat kewujudan ikan dengan nama saintifiknya Atractosteus spatula ini kawalan ketat perlu bagi mengelakkan daripada terlepas ke perairan awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN