fbpx
Seorang menantu kepada ibu mentuanya apabila kedua-dua wanita itu ditemui dalam keadaan berpelukan selepas mereka dibawa arus dalam tragedi kepala air di Kampung Iboi, Kupang semalam.

Banjir Baling: Ibu mengandung hendak jaga ibu sebelum maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Tiada apa yang dapat memisahkan kasih seorang menantu kepada ibu mentuanya apabila kedua-dua wanita itu ditemui dalam keadaan berpelukan selepas mereka dibawa arus dalam tragedi kepala air di Kampung Iboi, Kupang di sini semalam.

Mayat Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan dan ibu mentuanya, Salmah Mat Akib, 53, ditemui di bawah timbunan batang pokok kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

Seorang lagi mangsa, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, yang merupakan anak bongsu Salmah ditemui kira-kira dua jam kemudian di lokasi berhampiran.

Menurut suami Nurul Anis, Mohd. Khairul Asraf Nor Azman, 24, wanita yang dinikahinya pada Febuari lalu itu ada meminta kebenaran untuk menjaga ibunya, Salmah yang terlantar kerana lumpuh.

“Ketika kejadian saya berada di Pulau Pinang kerana bekerja dan hanya akan pulang ke kampung bertemu keluarga apabila ada cuti.

“Pada petang semalam (kelmarin), saya ada menghubungi­nya untuk memaklumkan akan pulang pada hari ini (semalam) kerana dia perlu menemui doktor untuk pemeriksaan kandungan­nya yang berusia empat bulan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di sini semalam.

Menurutnya, dia tidak menyangka permintaan isterinya itu menandakan dia akan pergi buat selama-lamanya apabila ditemui meninggal dunia kerana di­hanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air itu.

“Saya menghubunginya dan isteri beritahu air telah masuk ke dalam rumah. Saya kemudian bergegas balik dan sebaik sampai, saya lihat rumah yang kami diami selama ini telah hilang dengan tapak berubah menjadi sungai,” katanya.

Katanya lagi, dia juga pernah berjanji untuk menunaikan permintaan isterinya yang mengi­dam makan piza dan kek, namun hajatnya itu tidak kesampaian.

“Apapun berlaku, saya reda dengan segala ketentuan Ilahi atas kehilangan isteri tercinta, bayi sulung dan ibu yang dikasihi,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN