fbpx
SELEPAS tidak lagi dianjurkan sejak tahun 2013, perlumbaan perahu tradisi Melayu Terengganu dinamakan Festival Perahu Naga yang sejarahnya bermula dari penghujung 1970-an di Sungai Nerus dihidupkan semula baru-baru ini.

Festival perahu naga hidup semula di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perlumbaan perahu naga di Sungai Nerus, Terengganu yang popular sekitar penghujung tahun 1970-an kini dihidupkan semula.

Pada mulanya perlumbaan yang dikenali sebagai Festival Perahu Naga dianjurkan bagi mengeratkan lagi hubungan penduduk yang mendiami di sekitar sungai berkenaan.

Bagaimanapun, kemeriahan pertandingan perlumbaan perahu panjang seakan-akan menuju jalan penghujungnya apabila ia tidak lagi dianjurkan sejak tahun 2013 sehingga dihidupkan semula baru-baru ini.

Perlumbaan perahu naga amat dinanti-nantikan saban tahun dan mampu menarik puluhan ribu penduduk menyaksikannya dari tebing Sungai Nerus.
————————————————————————————————————————————————————————
SEBELUM wujudnya jaringan jalan raya yang serba lengkap pada hari ini, sungai merupakan akses perhubungan utama bagi penduduk di sepanjang Sungai Nerus untuk ke pusat bandar Kuala Terengganu pada zaman dahulu.

Kebanyakan mereka menggunakan perahu sebagai medium pengangkutan ke Kuala Terengganu yang terletak sejauh lebih 10 kilometer bagi melakukan aktiviti ekonomi dan sosial seharian.

Pada waktu itu, perahu panjang buatan tangan yang boleh memuatkan antara 10 dan 15 penumpang bagi setiap perjalanan itu popular dalam kalangan penduduk.

Ciri-ciri dan rekaan perahu panjang atau lebih dikenali sebagai perahu naga yang unik itu telah mencetuskan idea sebahagian penduduk yang menetap di pesisir Sungai Nerus berkenaan untuk menganjurkan pertandingan perlumbaan pada penghujung tahun 1970-an.

Salah seorang warga emas, Abdullah Ngah, 71, memberitahu tujuan asal Festival Perahu Naga tersebut dianjurkan bagi mengeratkan lagi hubungan penduduk terlibat.

Ujarnya, perlumbaan perahu naga amat dinanti-nantikan saban tahun dan mampu menarik puluhan ribu penduduk menyaksikannya dari tebing Sungai Nerus.

“Seingat saya yang berumur awal 30-an pada masa itu, setiap pasukan amat bersemangat untuk memenangi perlumbaan sejauh 500 meter berkenaan bagi merebut gelaran Raja Sungai.

“Tambah menarik, pertandingan itu turut menarik penyertaan golongan pembesar Istana dan kerabat Diraja Terengganu,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Mengimbau kembali kenangan lebih 40 tahun lalu berkenaan, Abdullah berkata, perlumbaan perahu naga amat meriah dengan sorakan tidak kurang 10,000 penduduk yang menyaksikannya dari tebing Sungai Nerus.


FESTIVAL Perahu Naga bukan sekadar perlumbaan tetapi menyatukan masyarakat dan menyerlahkan warisan Melayu Terengganu zaman-berzaman.

Menurut lelaki yang berasal dari Kampung Tanjung Sabtu, Kuala Nerus, setiap pasukan mempunyai strategi tersendiri bagi memenangi pertandingan seperti memecut laju sejak awal perlumbaan agar dapat meninggalkan lawan sejauh mungkin.

“Sebahagian pasukan pula lebih cenderung menyimpan tenaga sebelum meningkatkan kelajuan dayungan pada jarak separuh perjalanan atau 250 meter menuju garisan penamat.

“Setiap perahu diperkuat oleh 16 pendayung yang diketuai seorang jurumudi. Sebahagian pasukan turut membawa dua pemain gendang bersama-sama bagi menaikkan semangat,” jelasnya.

Abdullah memberitahu, dia pernah memegang peranan jurumudi yang mengetuai pasukannya bertarung di Sungai Nerus sambil disaksikan puluhan ribu penonton.

Kata beliau, jurumudi berperanan sebagai ketua pasukan yang akan menentukan strategi dan momentum dayungan perahu menyertai pertandingan tersebut.

“Bagi setiap pusingan, dua pasukan akan berentap memecut perahu naga masing-masing dan mereka yang terpantas akan layak ke pusingan seterusnya sehingga peringkat akhir.

“Festival ini bukan sekadar perlumbaan tetapi perlambangan gaya hidup dan budaya tradisional Melayu Terengganu yang ditonjolkan menerusi pertandingan terbabit,” katanya.

Abdullah berkata, penyertaan pembesar istana dan kerabat diraja juga secara tidak langsung telah mengeratkan hubungan rakyat jelata dengan institusi feudal.

Begitupun, Abdullah memberitahu, kemeriahan pertandingan perlumbaan perahu panjang seakan-akan menuju jalan penghujungnya apabila ia tidak lagi dianjurkan sejak tahun 2013.

Katanya, pertandingan terbabit terus sepi terutama pada musim pandemik Covid-19 sehinggalah Kelab Belia Lubuk Haji dan Kelab Croc Paddle mengambil inisiatif menghidupkannya semula baru-baru ini.


DUA perahu berentap bagi setiap pusingan.

Pertandingan selama dua hari itu disertai 11 pasukan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Kayak Terengganu dan pasukan Kampung Tanjung Sabtu, Buluh Gading, Banggol Peradong, Jeram, Petai Bubus, Lubuk Haji, Cherang Sepulau dan Paya Datu.

Bertempat di Kampung Tanjung Sabtu, Festival Perahu Naga berkenaan mendapat sambutan daripada 1,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk tempatan.

Pasukan Kampung Petai Bubus muncul juara mengatasi tuan rumah, Kampung Tanjung Sabtu sekali gus membawa pulang ganjaran wang tunai RM1,500.

Selaku naib juara, Kampung Tanjung Sabtu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, manakala Kampung Buluh Gading pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM700.

Salah seorang penduduk, Sujaiha Ibrahim, 39, pula berkata, penganjuran Festival Perahu Naga merupakan langkah tepat bagi menghidupkan semula warisan tradisi Melayu Terengganu yang hampir luput ditelan zaman.


LEBIH 1,000 penonton menyaksikan Festival Perahu Naga dari tebing Sungai Nerus berhampiran Kampung Tanjung Sabtu, Kuala Nerus.

Sujaiha berkata, perlumbaan perahu tradisional cukup sinonim bagi penduduk perkampungan di pesisir Sungai Nerus sejak 40 tahun lalu.

“Sejak kecil lagi saya telah dibawa oleh ibu bapa untuk menyaksikan perlumbaan perahu panjang ini. Festival ini menjadi medan untuk kami beriadah dengan rakan-rakan dari kampung lain.

“Segala aktiviti kemasyarakatan berlangsung sepanjang festival terbabit dan saya harap warisan tradisi ini akan terus dihidupkan pada tahun-tahun mendatang,” ujarnya.

Sujaiha berkata, generasi baharu perlu terus diberi pendedahan terhadap penganjuran Festival Perahu Naga.

Ini penting demi mengukuhkan lagi jati diri mereka mendepani cabaran semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN