SUBANG JAYA – Empat murid Tahun 5 mengalami simptom loya serta pening kepala apabila penunu bunsen bocor ketika menlakukan eksperimen di makmal sebuah sekolah di USJ 15, di sini tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.20 tengah hari tadi.
“Seramai 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati berlaku kebocoran gas penunu bunsen jenis mudah alih di makmal semasa menjalankan eksperimen,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, kejadian itu menyebabkan empat murid berusia 11 tahun mengalami loya dan dihantar ke Hospital Shah Alam bagi mendapatkan rawatan.
Anggota bomba membuka tingkap dan pintu makmal bagi melepaskan gas tersebut. Empat murid tersebut dilaporkan stabil. – KOSMO! ONLINE