fbpx
NASI lemak tiga dara semakin menjadi igauan pelanggan setianya yang sanggup menunggu awal sebelum gerai dibuka di Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Tak puas kalau sebungkus nasi lemak tiga dara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Keenakan nasi lemak yang diusahakan tiga beradik di Padang Ibu, Kubang Semang di sini, tidak hanya menjadi buruan pelanggan setempat, malah turut menarik perhatian pengunjung di luar Bukit Mertajam.

Hasil tinjauan Kosmo!, ada pelanggan yang sanggup menghabiskan masa perjalanan hampir satu jam semata-mata untuk menikmati nasi lemak hasil air tangan tiga beradik berkenaan.

Pelanggan yang ditemui turut mengakui mereka tidak akan puas sekiranya hanya menikmati sebungkus nasi lemak yang dijual pada harga RM1.20 itu.

Seorang pelanggan, Siti Hawa Arshad, 36, berkata, dia sanggup memandu lebih 20 kilometer dari Bertam Perdana setiap hari demi nasi lemak yang disediakan tiga gadis berkenaan.

“Saya kekal setia sebagai pe­langgan sejak lebih sembilan tahun lalu kerana keistimewaan cara masakannya, di sam­ping sambal bilis yang dimasak secukup rasa dan dengan harga yang amat berpatutan.

“Sebenarnya saya tak tahu pun nasi lemak tersebut telah tular di media sosial, namun sejujurnya, rasa nasi lemaknya sama seperti dahulu iaitu sejak sembilan tahun lalu ketika keluarga mereka mula berniaga.

“Pertama kali merasai nasi lemak mereka memang terus terpaut sehinggakan tak mahu cari nasi lemak yang lain. Boleh dikatakan rasa nasil lemak ini menjadi igauan setiap masa,” katanya yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat swasta dekat Perai, Butterworth.

Seorang lagi pelanggan setia, Ahmad Fazli Abdul Majid, 37, memberitahu, nasi lemak Kak Chik atau nama sebenarnya Nur Syakirah Mohd. Zaidi, 22, sememangnya tidak puas sekiranya hanya menjamah sebungkus.

“Kalau makan sebungkus mesti tak cukup. Bagi saya, sambal nasi lemak tersebut sedap pada tekak. Tidak terlalu pedas, tidak terlalu manis dan memang cukup rasa.

“Tambahan pula apabila dibungkus dengan daun pisang yang menaikkan lagi aroma nasi lemak itu sendiri. Memang teringatlah sampai sekarang.

“Ada ketikanya, jika saya datang lambat nasi sudah habis. Kadang-kadang tu kena beratur jugalah, tapi tak mengapa sebab memang berbaloi dan puas hati.

“Harap perniagaan yang mereka usahakan ini boleh berkembang dengan jayanya,” katanya yang sudah menjadi pelanggan tetap nasi lemak berkenaan sejak dua tahun lalu.

Kosmo! pada 15 Jun melaporkan, tiga gadis tidak menyangka perniagaan nasi lemak yang di­usahakan mereka laris sehingga boleh terjual lebih 500 bungkus sehari.

Perniagaan yang diusahakan sejak sembilan tahun lalu kini mula menjadi perhatian ramai pelanggan selepas tular di media sosial TikTok dua minggu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN