fbpx
Salah sebuah ladang yang subur dengan pokok ketum menunggu masa untuk dituai di Naka, Padang Terap.

Kedah makin rancak jadi ‘jelapang ketum’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERANG – Pekebun di Kedah terutama di Padang Terap semakin rancak menggantikan tanaman getah dan pisang di kebun mereka dengan pokok ketum kerana mendakwa ia membawa pendapatan lebih lumayan.

Jika sebelum ini pokok ketum ditanam di kawasan terlindung di sebalik kebun getah atau belakang rumah, kini ia ditanam di kebun baharu dan lama serta dibiarkan hidup subur di tepi jalan utama seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Seorang penanam pokok ketum dikenali sebagai Ramli dari Naka dekat sini berkata, ketum sudah menjadi antara tanaman utama kepada mereka kerana ia memberikan pulangan yang lumayan.

Katanya, dia mampu memperoleh pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 dalam tempoh 45 hari.

“Saya jual daun ketum ini antara RM10 hingga RM13 sekilogram dan pada musim kemarau pula harganya meningkat kepada RM15 hingga RM17 sekilogram.

“Permintaan sangat tinggi berbanding tanaman lain. Ada banyak jenis pokok ketum, paling popular adalah jenis daun jambu dan urat merah yang mana daunnya sangat berkualiti,” katanya di sini semalam.

Menurut Ramli, pokok ketum ditanam secara moden dan sistematik seperti tanaman sayur-sayuran atau buah-buahan lain termasuk menggunakan alat penyiram serta ditabur baja.

Katanya, tanah dan cuaca di Padang Terap yang sesuai perlu digunakan sebaiknya oleh kerajaan untuk tanaman ketum secara komersial.

“Jika pokok mangga harumanis sesuai ditanam di Perlis, apa salahnya jika pokok ketum ditanam secara ladang di Padang Terap ini,” katanya sambil mendakwa daun tumbuhan tersebut digunakan untuk perubatan tradisional.

Seorang lagi pekebun ketum, Namron dari Padang Sanai dekat sini pula mendakwa, daun ketum di daerah ini lebih berkualiti daripada negara jiran.

“Jadi tidak hairanlah apabila daun ketum di daerah ini sering menjadi buruan pembeli.

“Saya yakin jika kerajaan membenarkan tanaman ini untuk dieksport sudah pasti pendapatan penduduk di luar bandar yang selama ini bergantung kepada getah akan meningkat,” jelasnya.

Tambahnya, permintaan yang tinggi itu juga menyebabkan ramai penoreh getah dalam kalangan warga asing tidak lagi berminat untuk menoreh getah di daerah itu.

“Ini kerana, mereka mampu mengutip daun ketum dengan pendapatan antara RM150 hingga RM200 sehari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN