JOHOR BAHRU – Pengumuman pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura diibaratkan seperti hadiah paling istimewa sempena kedatangan Ramadan dan Aidilfitri yang akan diraikan tidak lama lagi.
Habbatallah Mohd. Bahari, 44, berkata, tindakan itu membolehkan dia berbuka puasa dan meraikan lebaran bersama keluarga selepas dua tahun tidak berbuat demikian.
Katanya, selepas tarikh 18 Mac 2020, dia hanya berpeluang sekali sahaja pulang ke pangkuan keluarga iaitu pada tahun lalu.
“Kini saya bersyukur kerana sudah boleh ulang-alik seperti biasa. Ini berita gembira buat kami dan rakan-rakan dari Malaysia yang masih berada di sana (Singapura).
“Bila nak dekat puasa ini, mudahlah untuk kami bersama keluarga. Banyak benda boleh dijimatkan kerana tidak perlu menyewa lagi,” katanya ketika ditemui di Terminal Bas Larkin Sentral di sini.
Habbatallah berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, isterinya sedang sarat mengandung dan pulang ke tanah air selepas isterinya bersalin.
“Saya jumpa anak hanya sekali dalam tempoh PKP. Sekarang dia sudah boleh berjalan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Farizuan Abdul Shukor, 29, berkata, pengumuman itu tepat pada masanya iaitu sebelum kedatangan bulan Ramadan.
Beliau berkata, kelonggaran yang dipersetujukan oleh kedua-dua kerajaan itu juga adalah relevan terutama melibatkan perkara-perkara kecemasan.
“Kebelakangan ini, kita memang boleh balik tetapi bukan serta-merta sebaliknya perlu kuarantin. Jadi jika ada masalah kecemasan seperti kematian atau sebagainya, kita tidak akan boleh berada di kampung tepat pada masanya.
“Sekiranya, selepas ini tidak perlu lagi kuarantin, ia amat melegakan kerana apa-apa jadi saya boleh terus ke kampung tanpa sebarang masalah,” katanya














