JOHOR BAHRU – Tiada apa yang menggembirakan buat mereka yang mencari rezeki di Singapura melainkan bersyukur dan mengibaratkan ia sebagai ‘mati hidup semula’ sebaik kerajaan mengumumkan pembukaan semula sempadan antarabangsa mulai 1 April ini.
Kegembiraan itu bagaikan mengubati azab dua tahun kehilangan sumber pendapatan sehingga ada yang terpaksa berpisah dengan keluarga kerana terperangkap di Singapura. Kenangan itu masih segar dalam ingatan masing-masing.
Mengimbau semula kesulitan itu, Shahrul Azlan Ahyar, 38, berkata, dia masih ingat ketika sempadan antarabangsa mula ditutup bagi mengekang Covid-19 pada 18 Mac 2020 selepas enam tahun bekerja di Singapura.
Katanya, dia berada dalam dilema apabila terpaksa membuat pilihan sama ada untuk terus bekerja di Singapura atau kembali ke Malaysia.
“Saya pilih untuk pulang kerana kasihankan isteri yang akan menjaga bayi kami, namun pada masa sama saya hilang mata pencarian.
“Dua tahun tidak dapat ulang-alik ke Singapura dan saya terpaksa menggunakan sebahagian besar wang simpanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan. Akhirnya, saya ambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi penghantar makanan,” katanya.

Menurut Shahrul, selepas bergelut dengan pencarian kerja, dia dan isterinya, Fathiah Fauzan Abdul Razak, 28, bersyukur dengan pengumuman kerajaan.
Tambahnya, dia mungkin akan berpindah ke Johor Bahru dalam tempoh terdekat sebaik mendapat panggilan kerja daripada beberapa buah syarikat yang dipohon bagi memudahkannya berulang-alik ke Singapura dengan menunggang motosikal seperti sebelum ini.
Bagi Azhar Aziz, 32, dia menganggap berita itu sebagai bulan jatuh ke riba.
“Saya akan masuk semula Singapura hari ini (semalam). Mungkin seminggu dua ini saya menetap di Singapura dahulu.
“Selepas ini, saya akan kerja berulang-alik seperti dahulu kerana banyak kos dapat dijimatkan,” katanya.
Berita berkaitan: Peniaga tidak sabar tunggu pengunjung Singapura
Berita berkaitan: Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura tanpa kuarantin
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatan di Singapura, Lee Hsien Loong memutuskan untuk membenarkan semua pengembara yang lengkap vaksinasi merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19.
Persetujuan Malaysia dan Singapura membuka sempadan darat bagi pengembara lengkap vaksinasi sejajar dengan peralihan fasa endemik pandemik ini memberi sinar baru terutama sekali pada rakyat Malaysia yang telah hilang pekerjaan lebih dua tahun di republik berkenaan.














