fbpx
Bebanan kerja terlalu banyak antara punca menyebabkan ramai guru bersara awal. – GAMBAR HIASAN

Sikap murid, balas WhatsApp punca guru bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai guru yang membuat keputusan untuk bersara awal kerana mereka mengakui sudah tidak mempunyai kekuatan untuk mengajar murid-murid zaman moden hari ini yang jauh berbeza sikap berbanding pelajar dahulu.

Sebahagian murid hari ini sudah hilang hormat kepada guru-guru seperti tidak mendengar kata, menipu, biadab dan bercakap kasar.

Bebanan kerja sampingan yang terlalu banyak dan buta teknologi digital juga menambahkan lagi kesengsaraan guru-guru.

Di Shah Alam, Selangor, seorang guru di sebuah sekolah rendah yang mahu dikenali sebagai Rohani, 56, berkata, dia tekad untuk bersara awal kerana tidak sanggup lagi berhadapan dengan sikap dan tingkah laku murid-murid zaman moden hari ini.

Katanya, jika dahulu, murid-murid lebih menghormati guru-guru, namun kini, mereka bersikap sebaliknya kerana faktor persekitaran dan terdedah de­ngan dunia media sosial.

“Pada awal perkhidmatan bermula 1989, saya tidak menghadapi masalah berurusan dengan ibu bapa kerana mereka menye­rahkan kepada guru untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan sebaiknya.

“Namun, situasi itu jauh berbeza dengan sekarang apabila ibu bapa masa kini kebanyakannya terlalu memanjakan anak sehingga guru-guru terikat dengan sebarang tindakan.

“Apabila itu tak boleh, ini tak boleh, saya jadi hilang sema­ngat. Jadi saya fikir, biarlah saya pencen awal daripada berdepan dengan ibu bapa seperti itu dan mengajar budak-budak tanpa keikhlasan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Rohani yang bakal mengakhiri tugasnya pada 1 Jun nanti berkata, Kementerian Pendidikan memperkenalkan pelbagai aplikasi yang kononnya akan membantu guru untuk merekodkan prestasi pelajar dan sesi pembe­lajaran di sekolah.

“Namun, kebanyakan aplikasi itu tidak stabil dan kami juga masih perlu merekodkan kese­mua itu secara manual dalam buku, menyebabkan beban kerja bertambah dan bukannya berkurangan,” ujarnya.

Di George Town, Pulau Pinang, seorang bekas guru mata pelajaran Matematik yang mahu dikenali sebagai Aishah berkata, dia memilih untuk bersara ketika usianya mencecah 56 tahun.

Akuinya, pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat pandemik Covid-19 telah merubah segala bentuk pengajaran sedia ada.

“Bebanan makin terasa apabila PdPR diperkenalkan. Pengajaran terganggu apabila tidak mendapat kerjasama pelajar.

“Ada pelajar dikesan hanya meletakkan nama dalam sistem kehadiran dan sanggup tidak mengikut PdPR tanpa beri alasan munasabah,” ujar Aishah.

Di Pontian, Johor, seorang bekas guru besar yang dikenali sebagai Mudzakir berkata, kebimbangan tidak dapat menerima bebanan kerja semakin hari semakin bertambah mendorong beliau memilih untuk bersara sebelum usia 60 tahun.

Selain itu, rasa ketidakpuasan hati terhadap pengurusan ter­tinggi yang dilihat lebih memihak kepada ibu bapa sekiranya aduan berkaitan pelajar, malah dakwa­nya mereka lebih menyalahkan warga pendidik.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang bekas guru sekolah menengah yang dikenali Ramli, 57, mengakui kelemahan menguasai teknologi menjadi punca dia bersara awal pada 2018.

“Saya tak mahir guna kompu­ter dan gajet lain, ia menyebabkan banyak tugasan penting lambat disiapkan,” katanya.

Selasa lalu, Kosmo! melaporkan, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan bahawa jumlah guru yang bersara awal didapati hampir menyamai bilangan guru yang bersara wajib.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN