PEMBELIAN online menggunakan kaedah beli dahulu, bayar kemudian menjadi kegilaan golongan muda ketika ini. – GAMBAR HIASAN

Perangkap hutang ‘beli dahulu, bayar kemudian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cemburu dengan rakan yang memakai pakaian atau barangan berjenama menjadi punca ramai golongan muda, pelajar dan mereka yang kurang berkemampuan terdorong untuk berbelanja di luar kemampuan melalui skim beli dahulu, bayar kemudian yang berleluasa di platform e-dagang.

Bertambah parah apabila kaedah hutang bentuk baharu dalam jangka masa panjang itu dipromosikan dengan pelbagai tawaran menarik bagi membeli pakaian, melancong, peralatan elektronik dan peranti tanpa mengambil kira kepada latar belakang pengguna.

Tawaran tanpa faedah itu semakin popular ketika pandemik Covid-19 buat mereka yang lebih gemar membeli secara online dan mahu menikmati hidup mewah selain dipandang tinggi oleh rakan-rakan.

Bagaimanapun, sikap boros tersebut mungkin akan memakan diri jika mereka tidak mampu untuk membayar hutang sehingga terpaksa mengikat perut dan melakukan kerja sampingan selain meminta wang daripada rakan-rakan atau ahli keluarga untuk melangsaikan hutang itu.

Seorang pekerja swasta yang dikenali sebagai Siti Amirah, 25, berkata, dia terjebak dengan skim tersebut pada tahun lalu dan mula bersikap boros.

“Sebaik tahu mengenai skim itu daripada rakan, saya terus gunakan kerana pendaftarannya begitu mudah dan cepat tak sampai 10 minit. Saya diberikan had belanja RM600.

“Sejak itu saya menjadi boros dengan membeli pelbagai bara­ngan seperti katil, tilam dan peralatan dekorasi rumah walaupun sebenarnya saya tiada duit,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

MEREKA yang disenarai hitam kerana gagal membayar hutang kad kredit merupakan antara golongan yang tertarik dengan skim beli sekarang bayar kemudian. – GAMBAR HIASAN

Menurut Siti Amirah, dia pernah berbelanja sebanyak RM700 dalam satu bulan selepas pe­ngendali platform dagang online membuat perubahan had pembelian selepas dia kerap membuat transaksi.

Tambahnya, dia kemudian menyesal apabila terpaksa mengeluarkan hampir kesemua simpanannya untuk membayar hutang yang dibuat.

“Duit tak cukup maka saya pinjam daripada rakan untuk perbelanjaan harian pula,” katanya.

Seorang pelajar sebuah universiti dikenali sebagai Maznah, 22, memberitahu, dia terpaksa berhutang untuk membeli barangan yang dimahukan kerana mempunyai tunai yang terhad.

Katanya, dia berbuat demi­kian kerana wang pinjaman dan yang diberikan ibu bapa tidak mencukupi.

“Apabila lihat kawan-kawan pakai barang baharu dan berjenama, saya jadi cemburu. Saya kemudian terikut dengan nafsu berbelanja selain tidak kisah terjebak dengan skim tersebut asalkan saya puas dan dapat apa yang diinginkan,” katanya.

Bagaimanapun, dia mula menyesal apabila kemewahan yang dikecapi hanya sementara dan perlu menanggung hutang yang tinggi.

“Sekarang saya hanya makan ala kadar untuk alas perut dan buat kerja sambilan sepanjang tempoh belajar. Jika saya gagal bayar dalam tempoh ditetapkan, maka akan dikenakan cas tambahan sebagai denda,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penjual burger dikenali sebagai Kamal, 43, berkata, dia terpengaruh dengan skim itu selepas disenaraihitamkan kerana gagal membayar tunggakan kad kredit.

“Saya tahu mengenai skim itu ketika hendak membeli peralatan memancing secara online. Selepas itu, saya terus berbelanja mengikut nafsu sehingga lupa kemampuan sendiri yang mencari rezeki sebagai penjual burger,” katanya.

Bagi Rahman, 25, dia membeli sofa menggunakan skim tersebut kerana baru berpindah selepas bernikah pada awal tahun ini.

“Kami berbelanja di luar kemampuan sebelum tersedar dan ambil iktibar atas perbuatan selain menyesal serta tidak mahu lagi dibebani hutang,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN