Adakah pahala baca al-Quran sampai kepada ibu bapa atau kawan yang sudah meninggal dunia?
Jawapan:
Menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati perkara khilaf dalam kalangan ulama. Ini kerana, dalil-dalil dalam masalah ini boleh difahami sebagai sampai dan juga tidak.
Ini seperti disebut al-Imam al-Nawawi dalam Al-Azkar: “Para ulama berbeza pendapat tentang kesampaian pahala bacaan al-Quran (kepada si mati). Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafii dan para ulama lain, ia tidak sampai.
Pendapat Ahmad bin Hanbal dan sejumlah ulama, juga pandangan ashab (sejumlah tokoh utama Mazhab) al-Syafii bahawa ia sampai”. (al-Nawawi, al-Azkar, m.s 232. Damsyik: Maktabah al-Ghazali).
Antara yang menyokong pendapat pahalanya sampai kepada si mati ialah Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra, 5/363. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Dari segi penghujahan, pendapat menyatakan bacaan al-Quran sampai pahala kepada si mati merupakan pendapat kuat. (sila lihat: al-Hajilan, al-Ahkam al-Fiqhiyyah al-Khassah bi al-Quran al-Karim, m.s 508. Saudi: Dar Ibn al-Jauzi).
Pun begitu, ini tidak memperkecilkan pendapat al-Imam al-Syafii r.h dan lain-lain dalam hal ini. Setiap pihak atas hujah mereka. Bagi yang mengamalkan, itu antara dia dengan Allah. Bagi yang menolak, banyak lagi cara lain untuk menolong si mati seperti berdoa yang jelas dalilnya disebut dalam al-Quran dan Sunnah.
Apabila seseorang membaca al-Quran lalu memohon agar Allah menjadikan pahala bacaan untuk si mati, jika Allah mustajabkan doanya, maka pahala itu diperoleh si mati. Jika tidak, pahala itu diperoleh mereka yang membacanya.
Syarat untuk semua itu, ikhlas bacaan bukan kerana harta atau bayaran. Jika tidak ikhlas tiada pahala. Jika tiada pahala, tiada apa yang boleh dihadiahkan.














